La Hot Spring merupakan kawasan ekopelancongan yang mempunyai kolam air panas semula jadi yang terletak di Kampung La, Hulu Besut, Terengganu. La Hot Spring mula dibuka pada tahun 1992 sempena Ekspo Pembangunan dan Pekan Budaya Daerah Besut. Walau bagaimanapun, kedatangan pengunjung ke kolam air panas mempunyai pasang surut disebabkan isu pembangunan dan pengurusan yang tidak terancang. Kemudahan fasiliti dan perkhidmatan yang terhad juga memberi pengalaman buruk kepada pengunjung. Oleh itu, kajian ini dijalankan untuk memahami dengan lebih jelas tentang pengurusan yang dijalankan di La Hot Spring. Tiga objektif utama dibentuk di dalam kajian ini iaitu: mengenal pasti sistem pengurusan kolam air panas di La Hot Spring, mengkaji kepuasan pengunjung terhadap kolam air panas di La Hot Spring dan menganalisis peranan pihak berkepentingan dalam penjagaan kolam air panas di La Hot Spring, Hulu Besut, Terengganu. Kajian ini mengadoptasi pendekatan campuran yang menggunakan instrumen temu bual, pemerhatian dan tinjauan. Seramai 11 orang informan telah ditemu bual dan 300 orang responden telah menjawab borang tinjauan. Analisis data daripada pendekatan kualitatif menggunakan analisis tematik manakala analisis deskriptif digunakan dalam pendekatan kuantitatif. Terdapat tujuh tema yang telah diekstrak daripada hasil analisis kajian seperti: demografi responden, sistem pengurusan, peranan pihak berkepentingan, isu yang berlaku di La Hot Spring, cadangan penambahbaikan, sumbangan La Hot Spring sebagai destinasi pelancongan dan kelebihan La Hot Spring. Oleh itu, kajian ini menyumbang kepada pendokumentasian sistem pengurusan La Hot Spring dan kepuasan pengunjung dan seterusnya menjadi rujukan kepada pihak berkepentingan untuk menambah baik sistem pengurusan La Hot Spring pada masa akan datang sebagai pusat eko pelancongan tempatan di Terengganu.
Kata kunci: Ekopelancongan, Kepuasan Pengunjung, La Hot Spring, Pengurusan, Pihak Berkepentingan.