Negeri Sembilan mempunyai adat, kebudayaan, sejarah, tradisi dan sistem politik yang agak unik. Peribahasa “biar mati anak, jangan mati adat” telah menjadi pegangan hidup rakyat yang berketurunan Minangkabau. Adat Perpatih telah wujud di Tanah Semenanjung sejak kurun ke-14, kekal menjadi adat yang unik di Negeri Sembilan sehingga sekarang. Situasi ini amat jelas diterangkan dalam pembahagian harta pusaka, gelaran dan juga suku yang memihak kepada kaum wanita. Menurut sejarah, rombongan awal migrasi Minangkabau yang datang terdiri daripada kaum lelaki tetapi susurgalur keturunan seseorang itu adalah “mengikut perut” iaitu tertakluk kepada suku ibunya. Melalui persemendaan ini jugalah masyarakat Negeri Sembilan terpecah kepada 12 kumpulan yang dikenali dengan nama suku. Oleh hal yang demikian, kajian ini bertujuan untuk menganalisis Asimilasi Budaya Dalam Lirik Lagu Randai Adat Perpatih Melalui Pengaplikasian Teori Orientasi Budaya Di Negeri Sembilan. Permasalahan timbul apabila kurangnya kajian mengenai asimilasi budaya dalam lirik lagu Randai Adat Perpatih di Negeri Sembilan serta pemikiran skeptikal masyarakat masa kini yang menganggap kesenian Randai sudah ketinggalan zaman. Oleh yang sedemikian, pengkaji telah menetapkan objektif bagi menyelesaikan permasalahan tersebut dengan mengkaji aspek asimilasi budaya, mengenalpasti lirik lagu Randai serta menganalisis potensi kesenian Randai dalam menjana pendapatan ekonomi di Negeri Sembilan. Kajian ini turut menggunakan pendekatan kualitatif dengan kaedah temu bual berstruktur, pemerhatian, analisis dokumen dan visual bagi mendapatkan data yang tepat dan sahih. Seterusnya, pengkaji telah membataskan kepada 10 buah lagu Randai Minangkabau yang menjadi simbolik kepada masyarakat Adat Perpatih serta dijadikan bahan untuk dianalisis bagi membuktikan kesahihan serta kewujudan asimilasi budaya yang terkandung di dalamnya. Selain itu, penggunaan Teori Orientasi Budaya dilihat mempunyai pertautan yang ketara dan rapat terhadap asimilasi budaya yang berlaku dalam kelompok masyarakat Adat Perpatih. Hasil dapatan kajian mendapati bahawasanya terdapat elemen asimilasi budaya yang berlaku dalam masyarakat Adat Perpatih yang tercermin melalui lirik lagu kesenian Randai. Lirik-lirik lagu ini mengandungi unsur nasihat, humor, sejarah dan nilai-nilai budaya yang mencerminkan kehidupan bermasyarakat Minangkabau di Negeri Sembilan. Kesenian Randai didapati bukan sahaja berperanan sebagai medium dalam mengekalkan warisan budaya ketara, malah mempunyai potensi dalam menjana ekonomi dalam sektor pelancongan negeri. Sebagai cadangannya, pengkaji berharap agar kesenian Randai terus dilestarikan oleh semua lapisan masyarakat agar warisan ketara ini terus hidup dan berfungsi sebagai jambatan budaya bagi menghubungkan masyarakat dari masa ke masa.
Kata Kunci: Asimilasi Budaya, Lagu Randai, Adat Perpatih, Teori Orientasi Budaya, Nilai Budaya