Abstrak :
Kajian berkaitan penyelidikan perbandingan pengaruh pewarna alam dan pewarna kimia terhadap integriti dan struktur tekstil. Penyelidikan ini bertujuan untuk membandingkan pengaruh pewarna alam yang berasal dari bahan tumbuhan dengan pewarna kimia terhadap integriti dan struktur tekstil dengan menggunakan kaedah temu bual, soal selidik, dan pemerhatian makmal sebagai kaedah pengumpulan data kajian. Objektif kajian adalah: 1) menganalisis pengaruh pewarna alam terhadap integriti dan struktur tekstil, 2) menganalisis pengaruh pewarna kimia terhadap integriti dan struktur tekstil, dan 3) membandingkan kesan pewarna organik dan kimia terhadap tekstil. Menggunakan set sampel kain kapas dan kanvas, kedua-dua jenis pewarna digunakan dalam keadaan makmal yang terkawal. Tekstil tersebut kemudiannya menjalani satu siri ujian tekanan, termasuk penilaian kekuatan serat dan ketahanan warna. Hasil kajian menunjukkan bahawa pewarna alam, walaupun mesra alam, menunjukkan kecenderungan yang lebih tinggi untuk pudar warna dan kekuatan serat yang lemah berbanding dengan pewarna yang berasaskan kimia. Sebaliknya, tekstil yang diwarnai dengan pewarna kimia mengekalkan kecerahan warna dan integriti struktur dalam jangka masa yang panjang. Hasil dapatan ini mencadangkan adanya kesinambungan antara pelestarian dalam teknik pewarnaan tekstil. Tuntasnya, pengetahuan ini adalah penting bagi industri tekstil dalam pembuatan keputusan yang telus terutama mengenai pemilihan pewarna untuk mengimbangi kesan terhadap alam sekitar dan kualiti produk.
Kata kunci : Pewarna organik, Pewarna kimia, Integriti dan struktur tekstil, Ketahanan warna, Pewarnaan tekstil, Kelestarian