Adat bersunat merupakan salah satu warisan kebudayaan tidak ketara yang menjadi identiti dan warisan masyarakat Orang Asli Jahut di Temerloh, Pahang. Pengamalan adat bersunat melibatkan upacara-upacara tertentu yang sarat dengan kepercayaan animisme sejak nenek moyang mereka yang terdahulu. Namun, penyebaran agama seperti Islam dan Kristian telah menyebabkan adat bersunat yang diamalkan oleh masyarakat Orang Asli Jahut tidak lagi diamalkan kerana terdapat upacara yang bercanggah dengan agama yang dianuti. Kemudahan fasiliti kesihatan seperti klinik dan hospital yang menawarkan khidmat bersunat juga telah menyebabkan adat bersunat di kalangan masyarakat Orang Asli terhakis. Justeru, kajian ini dijalankan untuk memahami dengan lebih mendalam mengenai perubahan dalam upacara adat bersunat di kalangan masyarakat Orang Asli di Kampung Paya Pelong. Terdapat tiga objektif utama iaitu: mengenal pasti aktiviti ritual yang terdapat dalam adat bersunat, mengkaji kepentingan dalam adat bersunat dan menganalisis langkah-langkah pelestarian dalam adat bersunat dalam kalangan masyarakat Orang Asli. Kajian ini juga menggunakan pendekatan kualitatif yang terdiri daripada pemerhatian dan temu bual manakala bagi reka bentuk kajian iaitu kajian kes. Teknik pensampelan bebola salji telah digunakan bagi menemu bual lapan orang informan mengenai adat bersunat. Terdapat tujuh belas tema yang diekstrak dan dibentuk melalui analisis tematik iaitu adat bersunat dalam kalangan masyarakat Orang Asli, ciri penting dalam adat bersunat, bahan yang digunakan dalam adat bersunat, persiapan ahli keluarga dan masyarakat untuk adat bersunat, aktiviti ritual dalam adat bersunat, orang yang terlibat dalam adat bersunat, peranan orang berkepentingan, pantang larang sebelum dan selepas dalam adat bersunat, kepercayaan dan semangat animisme dalam adat bersunat, kepentingan dalam adat bersunat, persepsi dalam adat bersunat, cabaran dalam adat bersunat, perubahan dahulu dan sekarang dalam adat bersunat serta pelestarian adat bersunat di kalangan masyarakat. Kajian ini seterusnya menyumbang kepada pendokumentasian adat bersunat masyarakat Orang Asli Jahut dan seterusnya melestarikan amalan dan ritual yang sedia ada untuk generasi akan datang.
Kata kunci: Adat bersunat, adat istiadat, masyarakat Orang Asli, pelestarian warisan, warisan kebudayaan tidak ketara