Citation
Arham Abdullah (2026) Lentera Hikmah Naib Canselor #52: UMK30 Teras 3: Penghasilan pelajar yang holistik dan pengukuhan jaringan industri. [Corporate Memory] |
Abstract
UMK30 TERAS 3 : PENGHASILAN PELAJAR YANG HOLISTIK DAN PENGUKUHAN JARINGAN INDUSTRI Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Salam UMK4U 1Hati 1Jiwa. Persekitaran pendidikan tinggi masa kini menuntut universiti menilai semula pendekatan pembangunan pelajar agar selari dengan keperluan semasa industri yang tidak lagi menumpukan kepada pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya menilai sikap, disiplin, keupayaan komunikasi, kerja berpasukan dan kemahiran menyelesaikan masalah. Dalam masa yang sama, institusi turut berhadapan dengan jurang kemahiran antara graduan dan industri serta tahap penguasaan bahasa yang berbeza, manakala perubahan teknologi yang pantas menuntut pelajar lebih bersedia menyesuaikan diri. Justeru, pembangunan pelajar perlu dilaksanakan secara holistik melalui integrasi pengetahuan akademik, kemahiran teknikal dan nilai murni, disokong oleh jaringan kerjasama industri yang strategik dan berterusan bagi memastikan kurikulum kekal relevan, memperluas peluang latihan serta pendedahan kepada persekitaran kerja sebenar, seterusnya memperkukuh kebolehpasaran dan kesiapsiagaan graduan. Dalam kerangka yang lebih luas, pendekatan ini selari dengan aspirasi Lonjakan 1, Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 yang menekankan pembelajaran berpaksikan kemanusiaan, berciri keusahawanan dan bersifat adaptif bagi melahirkan graduan yang beretika, terangkum serta siap siaga menghadapi masa hadapan. Tumpuan ini diberikan kepada pembangunan kurikulum yang holistik dan bersepadu dengan penerapan nilai, kepelbagaian, kesaksamaan dan keterangkuman, di samping penguasaan kemahiran penyelidikan, penyelesaian masalah, pemikiran sistem serta kecekapan dalam AI dan teknologi memuncul. Kerangka pembelajaran inovatif dan modular turut diperluas bagi menyokong pembelajaran sepanjang hayat, memperkukuh pembelajaran berasaskan pengalaman serta memupuk budaya keusahawanan melalui bimbingan mentor dan akses kepada dana usaha niaga. Usaha ini disokong oleh pemerkasaan infrastruktur digital, pelaksanaan Reka Bentuk Sejagat untuk keterangkuman serta pengukuhan sistem sokongan termasuk aspek kesihatan mental, bagi memastikan ekosistem pembelajaran yang mampan, saksama dan berimpak tinggi. Atas dasar itu, Teras 3 UMK30 memberikan tumpuan kepada penghasilan pelajar yang holistik serta pengukuhan jaringan yang menyokong kebolehpasaran graduan. Teras ini diterajui oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) bagi memastikan pembangunan pelajar digerakkan dengan sokongan rakan industri dan alumni. Melalui Objektif Strategik 5, saya mahu kita memfokuskan kepada penghasilan graduan yang seimbang dan berdaya saing, bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi turut memiliki sahsiah unggul, kemahiran insaniah dan kepimpinan yang mantap, di samping menitikberatkan kesejahteraan pelajar kerana kestabilan emosi dan motivasi pembelajaran memberi kesan langsung kepada pencapaian serta kebolehpasaran. Sehubungan dengan itu, kita menetapkan sasaran kebolehpasaran graduan pada kadar 95% bagi tempoh 2026 hingga 2030, manakala Indeks Kesejahteraan Pelajar pula disasarkan meningkat daripada 50% pada 2026 kepada 80% menjelang 2030, selari dengan aspirasi nasional dan trend pencapaian semasa universiti. Saya percaya sasaran ini hanya dapat dicapai melalui komitmen menyeluruh ekosistem UMK merangkumi penambahbaikan kurikulum secara berterusan, peluasan jaringan industri, pengukuhan latihan industri dan bimbingan kerjaya yang sistematik, kerana tanpa keseimbangan antara penguasaan ilmu, kematangan berfikir dan kemahiran komunikasi serta kepimpinan, graduan tidak akan mampu bersaing secara berkesan dalam landskap industri yang dinamik. Dalam masa yang sama, melalui Objektif Strategik 6 universiti memberi penekanan terhadap peranan alumni sebagai rakan strategik yang mampu menyumbang secara berterusan kepada alma mater. Saya percaya pengalaman dan jaringan profesional alumni merupakan aset penting dalam membimbing pelajar, berkongsi kepakaran dan membuka peluang kerjaya. Justeru, sasaran penglibatan sekurang-kurangnya 10% alumni dalam program universiti menjelang 2030 ditetapkan sebagai penanda aras yang realistik dan terukur, memandangkan penglibatan aktif sebahagian alumni sudah memadai untuk membina jaringan industri yang kukuh serta memberi impak langsung kepada pembangunan pelajar dan kebolehpasaran graduan. Akhir kata, saya berharap agenda melahirkan graduan holistik ini akan terus diperkasa secara konsisten dan berterusan. Graduan yang seimbang dari aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai merupakan aset strategik bukan sahaja kepada universiti, malah kepada pembangunan negara secara menyeluruh. Saya yakin bahawa melalui sinergi yang berterusan antara universiti, industri dan alumni, kita berupaya membangunkan ekosistem pendidikan tinggi yang lebih kukuh dan lestari untuk masa hadapan. Inilah komitmen bersama kita untuk memastikan setiap graduan bukan sekadar bersedia memasuki pasaran pekerjaan, tetapi turut berkeupayaan menyumbang secara signifikan, memimpin dengan berintegriti dan mencorakkan perubahan positif dalam masyarakat. Sekian, terima kasih. Ikhlas, Arham Abdullah |
Download File / URL
|
Additional Metadata
| Item Type: | Corporate Memory |
|---|---|
| Collection Type: | Naib Canselor |
| Date: | 22 February 2026 |
| Subject Heading: | Communication |
| Subject Heading: | Top management |
| Subject Heading: | Reflections |
| Subject Heading: | Vice Chancellor |
| Institution: | Universiti Malaysia Kelantan |
| URI: | http://discol.umk.edu.my/id/eprint/16877 |
| Statistic Details: | View Download Statistic |
