Digital Special Collection Portal

Strategi pelestarian melalui teknologi bahan pewarna alam pada tekstil tempatan: pengaruh jenis bahan dan teknik mordan


Citation

Nurul Syahida Mat Hussin (2024) Strategi pelestarian melalui teknologi bahan pewarna alam pada tekstil tempatan: pengaruh jenis bahan dan teknik mordan. Doctoral thesis, Universiti Malaysia Kelantan.

Abstract

Warisan tidak ketara seperti tekstil sering dipersembahkan dengan nilai simbolik, fungsi, dan estetik. Namun begitu, huraian teknologi pembuatannya kurang dibahaskan sedangkan peloporan teknologi inilah yang menjadi pemangkin perkembangan dan inovasi tekstil hari ini. Perlindungan kepada alam sekitar menjadi cabaran dalam kalangan pengamal tempatan dan pengusaha tekstil yang menggunakan bahan kimia. Hal ini kerana proses pembangunan dan pewarnaan tekstil dilaporkan menjadi antara penyumbang kepada pencemaran air dunia serta boleh memudaratkan pengamal dan juga pengguna. Tambahan pula, walaupun bahan pewarna alam dipraktikkan dalam mewarna tekstil, bahan pengikat atau mordan masih lagi dimonopoli oleh bahan kimia. Objektif kajian ini adalah untuk 1) menghuraikan strategi pelestarian melalui elemen teknologi bahan pewarna alam dalam pewarnaan tekstil dan 2) mengeksplorasi teknologi bahan pewarna alam melibatkan teknik mordan dalam mempraktikkan pewarnaan tekstil tempatan, seterusnya dapat 2a) mengenal pasti hasil warna, 2b) pengaruh kekerapan pencelupan dengan jenis bahan dan kaedah mordan, serta 2c) menentukan hasil warna terbaik. Kaedah pengumpulan data bagi kajian ini melibatkan data primer yang meliputi pendekatan pemerhatian dan penglibatan, temu bualdan catatan nota di lapangan. Data sekunder dikumpul daripada dokumen berkaitan. Data dianalisis menggunakan analisis 1) kandungan konvensional, 2) pengurangan, paparan, dan membuat kesimpulan data merujuk kepada ‘Miles and Huberman Model Analysis Flow’, dan eksplorasi kesan ekstrak bahan alam pada kain kapas melibatkan pemerhatian visual serta perolehan indeks warna menggunakan ukuran CIE L*a*b*. Dapatan kajian yang diperoleh adalah pengkelasan pengamal teknologi bahan pewarna alam dan pelaksanaannya, aliran proses teknologi bahan pewarna alam, senarai semak proses, dan elemen dalam teknologi bahan pewarna alam untuk mewarna tekstil. Selain itu, hasil warna yang diperoleh adalah kuning untuk bahan kunyit, kecoklatan untuk bahan daun gajus, coklat jingga dan hijau kekuningan bagi bahan daun mangga, kuning kehijauan dan kecoklatan untuk bahan daun ketapang. Pendekatan pra-mordan menggunakan bahan mordan kapur dan tawas telah memberikan hasil signifikan bagi menghasilkan warna kuning. Manakala, hanya bahan daun gajus yang menggunakan kaedah mordan serentak dengan larutan kapur kurang memberikan hasil yang bagus iaitu greenwhite. Perolehan dapatan kajian ini kemudiannya dibincangkan dengan lebih lanjut berkaitan dengan proses pewarnaan menggunakan bahan pewarna alam pada tekstil mengikut perspektif semasa dan dihuraikan hasil perolehan warna pada tekstil. Triangulasi konsep melalui sistem pengetahuan, sistem teknologi, dan persekitaran telah membentuk relevansi pemahaman serta penyesuaian terhadap konsep pelestarian dan eksploitasi dalam elemen teknologi pewarnaan. Oleh itu, pengenalan semula kepada penggunaan bahan pewarn alam dalam pewarnaan tekstil tempatan dengan gabungan pendekatan semasa dapat memberi kesedaran dan pengetahuan kepada manusia dan persekitaran. Seterusnya, masyarakat dapat menggiatkan proses pewarnaan tekstil yang telah lama dipraktikkan sebagai kemahiran dan pengetahuan yang berharga.

Download File / URL

[thumbnail of NURUL SYAHIDA BINTI MAT HUSSIN.pdf] Text
NURUL SYAHIDA BINTI MAT HUSSIN.pdf
Restricted to Registered users only

Download (6MB)

Additional Metadata

Item Type: UMK Etheses
Collection Type: Thesis
Date: 2024
Number of Pages: 402
Research Type: Qualitative
Supervisor: Prof. Ir. Ts. Dr. Ahmad Rasdan Ismail
Programme: Doctor of Philosophy
Institution: Universiti Malaysia Kelantan
Faculty/Centre/Office: Faculty of Creative Technology and Heritage
URI: http://discol.umk.edu.my/id/eprint/16797
Statistic Details: View Download Statistic

Edit Record (Admin Only)

View Item View Item

The Office of Library and Knowledge Management, Universiti Malaysia Kelantan, 16300 Bachok, Kelantan.
Digital Special Collection (UMK Repository) supports OAI 2.0 with a base URL of http://discol.umk.edu.my/cgi/oai2