Negeri Kelantan yang terletak di Pantai Timur dalam Malaysia merupakan salah satu negeri yang kaya dengan hasil bumi terutama tanah liat. Negeri ini mempunyai 12 daerah iaitu Gua Musang, Kota Bharu, Machang, Bachok, Pasir Puteh, Pasir Mas, Tumpat, Jeli, Lojing dan Tanah merah. Lokasi ini mempunyai banyak hasil bumi dan kawasan tanah yang masih belum diterokai. Di Kelantan, kebanyakan produk tanah liat dihasilkan melalui kaedah tradisional yang memakan banyak masa dan kualitinya tidak terkawal. Maka, ia merupakan salah satu punca beralihnya penggunaan tanah liat kepada bahan lain. Kajian berkaitan kaedah pembuatan, pemilihan bahan, bentuk dan fungsi sesuatu produk perlu diutamakan bagi meningkatkan kembali industri seramik terutamanya bagi produk berasaskan tanah liat. Maka, kajian ini dijalankan untuk mencirikan sifat fizikal, kimia dan mekanikal tanah liat yang diambil dari pelbagai lokasi di Kelantan. Kajian ini juga akan mengkaji kesan suhu pembakaran pada julat 900°C, 1000°C, 1100°C dan 1200°C, terhadap tanah liat yang diambil dari pelbagai lokasi di Kelantan. Kajian ini juga akan membangunkan profail potensi kegunaan tanah liat dari pelbagai lokasi di Kelantan. Pencirian sampel tanah liat akan dilakukan melalui beberapa uji kaji yang akan memberikan sifat, fizikal dan mekanikal. Sampel tanah liat dari setiap daerah di Kelantan akan diambil dan dianalisis untuk diprofilkan bagi kajian potensi kegunaan tanah liat-tanah liat tersebut. Penyediaan sampel dimulakan dengan proses pengeringan dan ditumbuk supaya hancur bagi memudahkan sampel tanah liat dikisar halus. Serbuk sampel tanah liat yang sangat halus diperlukan untuk membuat ujian Pembelauan Sinar-X (XRD) dan Pendaflour Sinar -X (XRF). Slip yang telah dituang berkeadaan separa kering (basah) dicabut dari acuan dikeringkan akan melalui proses pembakaran pada suhu 900 °C, 1000 °C, 1100 °C dan 1200 °C. Sampel yang telah dibakar mengalami ujian sifat fizikal iaitu ujian pengecutan, ketumpatan dan peratus keliangan, pemerhatian Mikrostruktur (SEM) dan kadar penyerapan air. Eksperimen sifat mekanikal bahan pula melalui Ujian Modulus Pecah (MOR) diuji dengan menggunakan ujian Charpy dan Kekuatan Lentur (Three Point Bending). Berdasarkan hasil keseluruhan, suhu pembakaran 1200°C adalah sampel terbaik dengan memiliki kekuatan tertinggi antara semua sampel. Setiap kawasan mempunyai jenis tanah liat dan warna yang berbeza. Tanah liat daerah Gua Musang mempunyai sifat tanah liat yang terbaik untuk pelbagai kategori produk dan tanah liat Jeli adalah paling rendah dalam penghasilan pelbagai jenis produk. Kesimpulannya, setiap daerah di Kelantan mempunyai keunikan tanah liat yang tersendiri. Setiap sampel tanah telah dikaji dan didapati boleh menghasilkan produk dan menjana ekonomi penduduk setempat.