Citation
Arham Abdullah (2026) Lentera Hikmah Naib Canselor #50: Teras 1: Keusahawanan: peneraju kebitaraan keusahawanan serta penghasilan bakat keusahawanan humanistik. [Corporate Memory] |
Abstract
TERAS 1: KEUSAHAWANAN: PENERAJU KEBITARAAN KEUSAHAWANAN SERTA PENGHASILAN BAKAT KEUSAHAWANAN HUMANISTIK Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Salam UMK4U 1 Hati 1 Jiwa. Minggu lalu, saya telah mengulas gambaran umum berkenaan UMK30 sebagai kompas hala tuju yang menjadi panduan kepada transformasi universiti ke arah kecemerlangan global. Sebagai kesinambungan, minggu ini saya ingin memperjelaskan Teras Strategik 1 iaitu Teras Keusahawanan supaya semua warga, sama ada pensyarah, pentadbir mahupun staf sokongan, memahami arah yang sedang kita tuju. Berteraskan DNA keusahawanan UMK, teras ini menggariskan keperluan untuk universiti tampil sebagai peneraju kebitaraan keusahawanan serta penghasilan bakat keusahawanan humanistik. Keutamaan kita adalah melahirkan graduan yang bukan sahaja memahami keusahawanan, tetapi mampu menggerakkannya secara berdaya saing, beretika dan memberi manfaat kepada masyarakat. Teras ini diterajui oleh Institut Keusahawanan UMK Entrepreneurship (UMKEI) di bawah pimpinan Prof. Dr. Mohd Nor Hakimin bin Yusoff, yang berperanan menyelaras ekosistem, program serta hala tuju pembangunan keusahawanan universiti secara menyeluruh. Di bawah Teras 1, dua tumpuan utama digariskan. Pertama, memartabatkan reputasi UMK sebagai peneraju pendidikan keusahawanan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Usaha ini melibatkan peningkatan pengiktirafan dan akreditasi, pengukuhan kepakaran tenaga pengajar dan pembimbing, pembangunan indeks ekosistem keusahawanan universiti melalui pelaksanaan Indeks Universiti Keusahawanan (UEI) dan Indeks Pendidikan Keusahawanan Bersepadu (EIE) sebagai instrumen penilaian holistik ekosistem keusahawanan UMK, serta pengukuhan jaringan strategik di peringkat serantau dan global melalui penglibatan aktif dalam ASEAN Entrepreneurship University Network (AEUN). Kedua, memperkasa kemenjadian usahawan pelajar serta meningkatkan daya saing usahawan graduan. Universiti menetapkan sasaran yang spesifik terhadap bilangan pelajar yang menjalankan perniagaan semasa pengajian dan graduan yang menceburi bidang keusahawanan selepas tamat pengajian. Sasaran ini memerlukan penglibatan seluruh warga kerana keusahawanan bukan tanggungjawab satu entiti, tetapi tanggungjawab bersama merentas fakulti, pusat tanggungjawab dan sokongan pentadbiran. Di UMK, pembinaan minda keusahawanan bermula seawal minggu pertama pengajian. Melalui kerangka pembangunan Road to ICON (RTI) serta adunan inovasi dan teknologi dalam keusahawanan, usahawan pelajar dibimbing secara berstruktur melalui peringkat permulaan perniagaan (Start), membangunkan perniagaan (Develop), pertumbuhan perniagaan (Growth) dengan sasaran memastikan mereka memperoleh ilmu dan pengalaman sebenar berniaga sebelum bergraduat. Pengalaman ini membina keyakinan, kematangan membuat keputusan dan keupayaan berdikari kepada pelajar. Seiring itu, Teras 1 menekankan pembangunan keusahawanan humanistik, iaitu melahirkan usahawan yang cekap, berintegriti dan memberi impak kepada masyarakat. Usaha ini disokong melalui pembiayaan, bimbingan industri serta pendayagunaan teknologi dan inovasi secara bersepadu dalam ekosistem universiti. Akhir kata, saya ingin seluruh warga UMK memahami bahawa Teras 1 adalah tanggungjawab bersama. Pensyarah membentuk pemikiran dan bakat, pentadbir memastikan sistem menyokong pelaksanaan dan staf sokongan memastikan setiap inisiatif berjalan lancar. Apabila semua bergerak seiring, reputasi UMK sebagai universiti keusahawanan akan terus diperkukuh. Minggu hadapan, saya akan meneruskan perkongsian Lentera Hikmah dengan menghuraikan teras strategik seterusnya dalam UMK30. Saya berharap seluruh warga UMK terus memahami dan menggerakkan pelan ini bersama. Sekian, terima kasih. Ikhlas daripada, |
Download File / URL
|
Additional Metadata
| Item Type: | Corporate Memory |
|---|---|
| Collection Type: | Naib Canselor |
| Date: | 8 February 2026 |
| Subject Heading: | Communication |
| Subject Heading: | Top management |
| Subject Heading: | Reflections |
| Subject Heading: | Vice Chancellor |
| Institution: | Universiti Malaysia Kelantan |
| URI: | http://discol.umk.edu.my/id/eprint/16784 |
| Statistic Details: | View Download Statistic |
