Kehilangan pokok akibat aktiviti pembangunan dan insiden pokok tumbang merupakan isu yang sering berlaku sungguhpun pelbagai inisiatif telah dijalankan untuk memeliharanya. Kaedah pembuatan keputusan untuk mengekal dan menebang pokok di kawasan pembangunan masih kabur. Oleh itu, tiga objektif digariskan dalam kajian ini iaitu untuk mengenal pasti amalan semasa membuat keputusan kekal dan tebang pokok di kawasan pembangunan, meneroka faktor yang mempengaruhi keputusan kekal dan tebang pokok di kawasan pembangunan serta menentukan hubungan antara faktor yang mempengaruhi keputusan kekal dan tebang pokok di kawasan pembangunan dan jangkaan kesan keputusan. Skop kajian meliputi pokok sedia ada yang terlibat dalam pembangunan. Kaedah campuran bertumpu dan pendekatan triangulasi digunakan melalui data temu bual, tinjauan dokumen dan tinjauan soal selidik. Informan temu bual terdiri daripada lapan orang pengamal landskap yang berkhidmat di dewan dan majlis bandaraya. Responden soal selidik terdiri daripada 265 orang ahli korporat dan ahli siswazah daripada Institut Arkitek Landskap Malaysia (ILAM) bagi sesi 2021/2022. Tinjauan dokumen pula melibatkan senarai semak permohonan pelan landskap serta laporan tebang bagi projek pembangunan. Bagi mencapai objektif kajian 1, analisis tematik dan statistik deskriptif iaitu nilai kekerapan dan peratusan digunakan. Objektif kajian 2 pula dicapai melalui analisis tematik, statistik deskriptif ranking skor min dan analisis penerokaan faktor. Objektif kajian 3 dicapai melalui analisis penerokaan faktor dan regresi pelbagai. Proses analisis dijalankan melalui perisian ATLAS.ti versi 9 dan Statistical Package for Social Science (SPSS) versi 26. Kajian ini mendapati pembuatan keputusan kekal dan tebang berlaku pada fasa kawalan perancangan dan prapembinaan melalui penilaian Laporan Cadangan Pemajuan (LCP), LPPL dan laporan permohonan tebang. Penebangan merupakan keputusan biasa diambil melibatkan pokok di kawasan pembangunan. Pembuatan keputusan kekal dan tebang pokok di kawasan pembangunan dipengaruhi secara langsung oleh ketersediaan sumber, ruang, sosial dan kos yang disokong oleh perundangan dan faktor pokok. Kajian ini juga mendapati kos dan keuntungan sebagai peramal jangkaan kesan kekal pokok yang memaksimumkan utiliti. Faktor kos dan keuntungan, ruang dan projek serta sosial merupakan peramal bagi jangkaan kekal pokok yang menghindari risiko. Selain itu, faktor kos dan keuntungan, projek dan institusi merupakan peramal bagi jangkaan kesan tebang yang memaksimumkan utiliti. Seterusnya, ruang, ciri-ciri pokok, sumber, projek dan kemandirian pokok merupakan peramal kepada jangkaan kesan tebang yang menghindari risiko. Kajian ini memberikan panduan untuk menambah baik pembuatan keputusan kekal dan tebang pokok dengan memberikan keadilan kepada pokok dan masyarakat serta membentuk hubungan harmoni antara pokok yang sedia ada dengan projek pembangunan. Penemuan ini dapat meningkatkan kecekapan dan keberkesanan pengamal landskap dalam menguruskan pokok di kawasan pembangunan.