Masyarakat Melayu merupakan kelompok yang sarat dengan kepelbagaian corak budaya, khususnya ditonjolkan melalui cerita rakyat. Umumnya, setiap cerita rakyat yang disampaikan secara turun temurun memberi penekanan terhadap aspek teguran, sindiran dan nilai sosial. Oleh itu, kajian ini sangat signifikan untuk meneliti unsur spiritual dalam cerita rakyat yang masih kurang mendapat perhatian ramai. Ia juga turut dianggap satu perkara yang kuno dan pincang serta tidak mengandungi nilai-nilai sosial untuk membentuk perilaku positif dalam kalangan masyarakat Melayu. Seterusnya, kajian ini akan mengenal pasti dan menganalisis gambaran unsur spiritual yang terkandung dalam Koleksi 366 Cerita Rakyat Malaysia serta menghubungkaitkannya dengan Teori Pengkaedahan Melayu. Berikutan itu, kajian ini juga menggunakan teks Koleksi 366 Cerita Rakyat Malaysia yang diselenggara oleh Zainariah Abdul Wahab, Nur Syafiqa Yusoff dan Fatimah Abdul Nasir pada tahun 2017 dengan membataskan 42 buah cerita rakyat yang dipilih secara selektif sebagai data kajian. Tambahan pula, penyelidikan ini turut memberi fokus kepada tiga elemen penting iaitu mistik, kepercayaan dan kerohanian. Sehubungan dengan itu, penyelidikan ini menggunakan reka bentuk kajian yang bersifat kualitatif iaitu melibatkan kaedah keperpustakaan dan analisis teks. Justeru, dapatan kajian telah membuktikan bahawa terdapat 13 unsur spiritual yang terkandung dalam cerita rakyat jelas mempamerkan keintelektualan dan keunggulan identiti masyarakat Melayu pada ketika dahulu. Mereka kaya dengan nilai-nilai positif, sistem sosial yang berpegang teguh kepada adat resam, kepercayaan dan agama serta sebagai lambang tatacara hidup bagi masyarakat Melayu yang sejati.