Digital Special Collection Portal

Lentera Hikmah Naib Canselor #49: UMK30: Pemacu tranformasi ke arah kecemerlangan global


Citation

Arham Abdullah (2026) Lentera Hikmah Naib Canselor #49: UMK30: Pemacu tranformasi ke arah kecemerlangan global. [Corporate Memory]

Abstract

UMK30 : pemacu tranformasi ke arah kecemerlangan global
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Salam UMK4U 1 Hati 1 Jiwa.
Pelan Strategik Universiti Malaysia Kelantan 2026–2030 (UMK30) telah dilancarkan pada 25 Januari 2026 sebagai manifestasi komitmen institusi dalam menetapkan hala tuju pembangunan universiti bagi tempoh lima tahun akan datang. Pelan ini mencerminkan kesungguhan pihak pengurusan universiti untuk bergerak secara terancang, berfokus dan berpandangan jauh dalam mendepani landskap pendidikan tinggi yang semakin kompleks dan kompetitif. Menerusi UMK30, saya amat berharap ia akan berfungsi sebagai kompas strategik yang membimbing perjalanan, pembuatan keputusan serta pelaksanaan inisiatif universiti sepanjang tempoh pelaksanaannya.
UMK30 digubal berasaskan penilaian menyeluruh terhadap pencapaian dan pengalaman UMK sejak universiti ini dimandatkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi sebagai sebuah Universiti Keusahawanan ketika penubuhannya. Penggubalan pelan ini turut mengambil kira realiti semasa institusi, cabaran masa hadapan serta keperluan pembangunan di peringkat nasional dan global. Sejajar dengan itu, UMK30 diselaraskan dengan dasar, agenda dan kerangka pembangunan negara serta antarabangsa bagi memastikan UMK kekal relevan, mampan dan berdaya saing dalam ekosistem pendidikan tinggi yang dinamik.
Secara prinsipnya, UMK30 dibina berpaksikan visinya iaitu “Menjadi Peneraju Pembangunan Insan Seimbang dan Holistik Bercirikan Keusahawanan bagi Kesejahteraan Global”. Ia menekankan pembangunan insan secara menyeluruh berteraskan keusahawanan humanistik melalui suatu pendekatan yang mengintegrasikan kecemerlangan ilmu, inovasi, nilai kemanusian, etika, empati dan tanggungjawab sosial. Pendekatan ini turut dizahirkan menerusi misinya iaitu menyediakan pendidikan, penyelidikan dan perkhidmatan berkualiti bagi melahirkan graduan holistik serta memperkasa pembangunan masyarakat yang mampan.
Bagi memastikan hala tuju ini dilaksanakan secara berstruktur, UMK30 digerakkan melalui 7 Teras Strategik utama yang diterjemahkan kepada 15 Objektif Strategik, dipantau melalui 26 Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan dilaksanakan menerusi 82 Inisiatif Strategik merentasi keseluruhan ekosistem universiti. Keseluruhan struktur ini membentuk satu ekosistem universiti yang saling menguatkan dalam mencapai sasaran bersama. Ia secara langsung menjadikan setiap program, aktiviti dan tugasan mempunyai nilai “outcome-based" serta memberi sumbangan kepada pencapaian UMK30.
Hasrat utama UMK30 adalah untuk mentransformasikan UMK sebagai Universiti Keusahawanan Unggul yang diiktiraf di peringkat Asia. Aspirasi ini menuntut perubahan paradigma kerja daripada bersifat selesa kepada progresif, daripada reaktif kepada strategik, serta daripada sekadar melaksanakan tugasan kepada menghasilkan impak yang bermakna. Dalam konteks ini, keusahawanan yang diketengahkan melalui UMK30 tidak terhad kepada aspek perniagaan semata-mata, sebaliknya merangkumi suatu cara berfikir dan budaya penciptaan nilai dalam pengajaran, penyelidikan, perkhidmatan serta sokongan pentadbiran. Justeru, UMK30 diharapkan menjadi nadi kepada warga UMK, yang menggerakkan keupayaan universiti untuk terus berkembang, berakar kukuh dan memberi makna kepada masyarakat.
Adalah penting untuk saya tegaskan bahawa UMK30 bukan merupakan tanggungjawab pihak pengurusan universiti semata-mata, sebaliknya suatu iltizam kolektif yang menuntut komitmen, kefahaman dan penglibatan aktif seluruh warga UMK. Bagi memperincikan aspirasi dan hala tuju setiap teras strategik, saya akan berkongsi penjelasan lanjut melalui siri Lentera Hikmah pada minggu-minggu seterusnya. Sehubungan dengan itu, seluruh warga UMK diseru untuk memberi perhatian serius dan mendalam terhadap setiap kandungan UMK30.
Akhir kata, saya sedar bahawa suatu hari nanti, naskah UMK30 ini akan menjadi usang. Namun, jejak legasi yang ditinggalkan oleh kita semua hari ini akan kekal dalam lipatan sejarah kelak yang mampu mengubah masa depan dan generasi anak bangsa.

Sekian, terima kasih.

Ikhlas daripada,
Arham Abdullah

Download File / URL

[thumbnail of BANNER LH#49.jpg] Image
BANNER LH#49.jpg

Download (368kB)
[thumbnail of BANNER LH#49.jpg] Image
BANNER LH#49.jpg

Download (368kB)
[thumbnail of LENTERA HIKMAH #49.pdf] Text
LENTERA HIKMAH #49.pdf

Download (94kB)

Additional Metadata

Item Type: Corporate Memory
Collection Type: Naib Canselor
Date: 1 January 2026
Institution: Universiti Malaysia Kelantan
URI: http://discol.umk.edu.my/id/eprint/16695
Statistic Details: View Download Statistic

Edit Record (Admin Only)

View Item View Item

The Office of Library and Knowledge Management, Universiti Malaysia Kelantan, 16300 Bachok, Kelantan.
Digital Special Collection (UMK Repository) supports OAI 2.0 with a base URL of http://discol.umk.edu.my/cgi/oai2