Semantik mempunyai ikatan yang utuh dengan makna-makna ayat, situasi penggunaannya dan apa sahaja makna sisipan yang terkait dengan ayat. Ia berpaksi kepada dua rukun makna, iaitu makna literal dan makna kontekstual. Penguasaan dua makna ini adalah teras dalam memahami sebab penandaan Waqf Lāzim pada 22 ayat al-Quran. Kedua-dua makna ini diselarikan dengan kaitan lafaz dan kaitan makna yang terdapat dalam Waqf wa Ibtidā’. Dengan itu, kajian ini sebenarnya adalah integrasi antara dua bidang, iaitu semantik bahasa Arab dan Waqf wa Ibtidā’. Kajian ini dijalankan untuk menyelesaikan kesamaran tentang aspek-aspek teori semantik yang terlibat dalam permasalahan ayat-ayat Waqf Lāzim berpandukan kepada semantik Tammām Ḥassān. Antara kesamaran aspek-aspek teori semantik adalah berkenaan at-Tarāduf iaitu aspek leksikografi dan sistem ayat iaitu aspek sintaksis. Ketiadaan garis panduan fungsi semantik terhadap penganalisisan ayat-ayat Waqf Lāzim merupakan masalah kedua kajian ini. Sehubungan itu, kajian ini menyasarkan tiga objektif. Pertama, menjelaskan pengertian Waqf Lāzim dalam al-Quran serta isu-isu yang terkait dengannya. Kedua, menerangkan aspek-aspek semantik yang terlibat dalam mempengaruhi penentuan hukum Waqf Lāzim. Ketiga, menghasilkan garis panduan fungsi semantik dalam menentukan hukum Waqf al-Quran. Reka bentuk kajian ini adalah kualitatif yang merangkumi kajian kepustakaan. Kaedah pengumpulan data adalah daripada sumber sekunder yang berbentuk rekod bertulis. Data terkumpul dianalisis menggunakan kaedah analisis teks. Hasil kajian mendapati setiap ayat Waqf Lāzim pasti mempunyai makna literal dan makna kontekstual yang boleh disejajarkan dengan kaitan lafaz dan kaitan makna oleh Musā‘id aṭ-Ṭayyār. Kesejajaran antara keduanya berjaya untuk membina 22 peta minda semantik bagi setiap 22 ayat Waqf Lāzim. Setiap peta minda semantik dinyatakan hukum Waqf Ikhtiyārī, sama ada Tām, Kāfī atau Ḥasan. Kajian ini turut menemukan 15 hukum Waqf yang menyamai dan tujuh hukum Waqf yang tidak menyamai dengan ilmuwan Waqf wa Ibtidā’ yang selain Musā‘id. Berdasarkan peta minda dan hukum waqf berkenaan, kajian ini menghasilkan Garis Panduan Fungsi Semantik (GPF Sem) yang merupakan kerangka awal dalam mengkaji fungsi semantik pada permasalahan ayat-ayat Waqf Ikhtiyārī. Kajian seperti ini wajar untuk diteruskan dalam menonjolkan rasional semantik terhadap ayat-ayat Waqf al- Quran. Ia juga sebagai suatu usaha yang dapat menyempurnakan GPF Sem untuk menjadi sebuah model lengkap.