Digital Special Collection Portal

Lentera Hikmah Naib Canselor #47: Menjaga etika, memelihara maruah di media sosial


Citation

Arham Abdullah (2026) Lentera Hikmah Naib Canselor #47: Menjaga etika, memelihara maruah di media sosial. [Corporate Memory]

Abstract

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Salam UMK4U 1 Hati 1 Jiwa.

Dunia digital semakin menjadi nadi dalam kehidupan kita. Revolusi Industri 4.0 telah mengubah cara manusia berinteraksi dengan teknologi, bekerja dan menjalani kehidupan seharian. Tanpa kita sedari, kita kini bagaikan berada di atas sebuah eskalator yang terus bergerak ke hadapan menuju era IR 5.0, iaitu era yang menggabungkan dunia maya dan dunia fizikal serta melahirkan apa yang disebut sebagai “mesin yang berjiwa”, gabungan teknologi dengan kebijaksanaan manusia.

Namun di sinilah kebimbangan mula timbul. Jika manusia yang berjiwa mampu mencipta “mesin yang berjiwa”, adakah akhirnya kita pula yang memindahkan jiwa kita kepada mesin atau platform tertentu? Jika kita gagal mengimbangi nilai kemanusiaan dengan kecerdasan teknologi, kita sedang perlahan-lahan kehilangan nilai, adab dan kebijaksanaan kerana terlalu bergantung kepada “mesin”. Apatah lagi hari ini, mesin yang paling dekat dengan kita ialah media sosial, yang mampu membuat kita pegun di hadapan skrin berjam-jam lamanya berbanding masa yang kita luangkan bersama manusia.

Media sosial telah menjadi medan kita berbicara, meluah rasa, memberi pandangan dan membentuk persepsi. Penulisan dan kandungan kita di media sosial ialah cerminan siapa kita dan penentu bagaimana orang menilai kita sebagai penjawat awam dan warga universiti. Setiap tulisan, kandungan dan komen bukan hanya mewakili diri sendiri, tetapi turut membawa bersama nama keluarga, jabatan, universiti dan institusi negara. Apabila kita menulis dan mencipta kandungan, kita secara sedar membenarkan diri kita dinilai oleh masyarakat dunia maya.

Ingin saya mengingatkan warga UMK agar tidak menjadikan media sosial sebagai medan serangan peribadi, fitnah atau sindiran terhadap individu dan agensi. Jangan gunakan waktu pejabat untuk urusan peribadi di media sosial. Jangan dedahkan maklumat rasmi yang sepatutnya dilindungi. Setiap maklumat yang ingin dikongsi perlu disemak ketepatan dan sensitiviti kandungannya, kerana kegagalan mematuhi etika ini bukan perkara kecil. Ia boleh membawa kepada tindakan tatatertib, malah mencalar maruah diri, jabatan dan universiti.

Sebab itu, saya menyeru kepada seluruh warga UMK agar sentiasa berpegang kepada etika penggunaan media sosial dan mematuhi Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 (Akta 605), khususnya berkaitan Pernyataan Awam. Apabila jari sudah di papan kekunci, berhenti sejenak dan fikir dahulu sebelum menulis, timbang dahulu sebelum berkongsi. Apabila kamera sudah di depan mata, fikirkan kesan setiap rakaman, kata dan paparan.

Pesan saya, jadilah pengguna media sosial yang berhemah. Gunakan platform ini untuk menyebar ilmu, kebaikan dan nilai murni, kerana integriti bukan hanya dinilai di pejabat, tetapi juga di dunia maya.

Sekian, terima kasih.

Ikhlas daripada,
Arham Abdullah

Download File / URL

[thumbnail of BORANG PERMOHONAN PELANJUTAN TEMPOH BAGI BEKALAN PERKHIDMATAN.pdf] Text
BORANG PERMOHONAN PELANJUTAN TEMPOH BAGI BEKALAN PERKHIDMATAN.pdf

Download (356kB)
[thumbnail of BANNER LH#47.png] Image
BANNER LH#47.png

Download (1MB)
[thumbnail of LENTERA HIKMAH #47.pdf] Text
LENTERA HIKMAH #47.pdf

Download (90kB)

Additional Metadata

Item Type: Corporate Memory
Collection Type: Naib Canselor
Date: 18 January 2026
Subject Heading: Communication
Subject Heading: Top management
Subject Heading: Reflections
Subject Heading: Vice Chancellor
Institution: Universiti Malaysia Kelantan
URI: http://discol.umk.edu.my/id/eprint/16493
Statistic Details: View Download Statistic

Edit Record (Admin Only)

View Item View Item

The Office of Library and Knowledge Management, Universiti Malaysia Kelantan, 16300 Bachok, Kelantan.
Digital Special Collection (UMK Repository) supports OAI 2.0 with a base URL of http://discol.umk.edu.my/cgi/oai2