Citation
Arham Abdullah (2026) Lentera Hikmah Naib Canselor #48: Menggerakkan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026–2035 melalui kerangka UMK30. [Corporate Memory] |
Abstract
MENGGERAKKAN RANCANGAN PENDIDIKAN TINGGI MALAYSIA 2026–2035 MELALUI KERANGKA UMK30 Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Warga UMK yang saya hormati, Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 yang diumumkan baru-baru ini perlu difahami dan dihayati bersama oleh seluruh warga Universiti Malaysia Kelantan. Saya ingin agar warga UMK melihatnya sebagai penanda aras yang memperjelas hala tuju pendidikan tinggi negara serta peranan universiti awam dalam dekad akan datang. Justeru, RPTM ini dijadikan rujukan bersama dalam merancang, melaksana dan menilai setiap inisiatif di UMK, selari dengan kerangka strategik UMK30. Sebahagian besar hala tuju yang digariskan dalam RPTM sebenarnya telah pun mula dilaksanakan di UMK. Prinsip akses berasaskan merit diterjemahkan melalui pengukuhan program Asasi, Diploma dan laluan khas sebagai feeder ke peringkat ijazah, dengan penilaian yang mengambil kira kecemerlangan akademik serta potensi keusahawanan. Jaminan peluang kepada pelajar cemerlang yang memilih UMK sebagai pilihan utama akan terus dilaksanakan secara telus dan berdisiplin di semua peringkat pengurusan. Dalam masa yang sama, pengecualian yuran pengajian kepada pelajar Orang Kurang Upaya sebagai langkah memperkukuh akses pendidikan yang inklusif dan berkeadilan merupakan inisiatif nasional yang wajar disokong bersama. Sejajar dengan itu, UMK melaksanakan pengecualian yuran kepada pelajar Orang Kurang Upaya secara teratur dan berfokus. Ketika ini, UMK menyediakan pembiayaan yuran pengajian kepada 31 orang pelajar Orang Kurang Upaya dengan anggaran kos sekitar RM180,000, disokong penambahbaikan kemudahan serta pendekatan pengajaran yang lebih responsif, sebagai komitmen universiti untuk memastikan tiada pelajar yang tercicir daripada ekosistem pembelajaran. RPTM turut menekankan kepentingan kurikulum berimpak tinggi yang sejajar dengan ekonomi digital. Di UMK, saya optimis bahawa langkah ini boleh diperkukuh melalui penawaran dan penambahbaikan program strategik dalam bidang kecerdasan buatan, sains data dan komputeran, komunikasi dan media digital, ekonomi, perakaunan serta kewangan. Pendekatan pengajaran berasaskan experiential learning, industry-based projects dan Problem-Based Learning (PBL), bersama kerjasama industri, akan terus diperkasakan bagi memastikan graduan kekal relevan dan berdaya saing. Besar harapan saya agar warga UMK memberi keutamaan kepada aspek mobiliti sosial dengan menggerakkan bantuan kebajikan pelajar, dana zakat, wakaf dan endowmen secara strategik serta diperkukuh melalui pendekatan keusahawanan. Melalui usaha ini, UMK memainkan peranan sebagai pemutus rantaian kemiskinan dan membantu pelajar keluar daripada garisan kemiskinan. Penyelarasan Tingkatan 6 dan Matrikulasi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi pula dimanfaatkan melalui program pendedahan awal universiti dan pemetaan kurikulum bagi membina talent pipeline yang lebih tersusun. Kebajikan pelajar, termasuk aspek penginapan, perlu diberi perhatian berterusan sebagai sebahagian daripada pengalaman pembelajaran di kampus. Dengan hampir 14,800 pelajar dan kapasiti penginapan sekitar 42 peratus, saya melihat usaha menambah baik kemudahan serta meneroka kerjasama strategik, termasuk dengan syarikat berkaitan kerajaan, sebagai langkah penting untuk menyokong kesejahteraan dan pengalaman pelajar di UMK. Pemerkasaan Mata Pelajaran Umum (MPU) pula dilaksanakan melalui semakan semula kurikulum yang menekankan pembinaan jati diri, penghayatan sejarah, Perlembagaan dan nilai kenegaraan. Di UMK, pendekatan ini diperkukuh melalui integrasi elemen keusahawanan, kepimpinan dan pembangunan komuniti, serta pelaksanaan aktiviti berteraskan kenegaraan dan tanggungjawab sosial. Saya percaya usaha ini membantu membentuk graduan yang holistik, beretika dan memiliki identiti kebangsaan yang kukuh. Dalam landskap pendidikan tinggi yang semakin dinamik pula, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dilihat sebagai rakan strategik kepada universiti. Melalui kerjasama dengan politeknik dan kolej komuniti, laluan pendidikan dapat dibentuk dengan lebih fleksibel dan responsif kepada keperluan industri. Pendekatan ini menyokong pembangunan bakat yang merangkumi graduan profesional serta tenaga teknikal dan juruteknik berkemahiran tinggi dalam bidang teknologi baharu. Secara keseluruhannya, RPTM 2026–2035 menyediakan hala tuju yang jelas bagi transformasi pendidikan tinggi negara. Bagi UMK, dasar ini menjadi panduan untuk bergerak ke hadapan secara terancang dan berfokus. Saya mengharapkan warga UMK terus bersama-sama menjayakan agenda ini selari dengan aspirasi Malaysia MADANI dan kerangka strategik UMK30. Sekian, terima kasih. Ikhlas daripada, |
Download File / URL
|
Additional Metadata
| Item Type: | Corporate Memory |
|---|---|
| Collection Type: | Naib Canselor |
| Date: | 25 January 2026 |
| Subject Heading: | Communication |
| Subject Heading: | Top management |
| Subject Heading: | Reflections |
| Subject Heading: | Vice Chancellor |
| Institution: | Universiti Malaysia Kelantan |
| URI: | http://discol.umk.edu.my/id/eprint/16179 |
| Statistic Details: | View Download Statistic |
