Citation
Arham Abdullah (2026) Lentera Hikmah 45: 2025 vs 2026: Memaknakan pengalaman, memperkukuh hala tuju. [Corporate Memory] |
Abstract
“2025 vs 2026 : MEMAKNAKAN PENGALAMAN, MEMPERKUKUH HALA TUJU” Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Salam UMK4U 1 Hati 1 Jiwa. Warga UMK yang saya hormati, Dengan lafaz yang mulia Bismillahirrahmanirrahim, kita melangkah ke tahun baharu dengan kematangan yang terbina hasil daripada pelbagai pengalaman, peringatan dan pencapaian yang telah dilalui sebelum ini. Sepanjang perjalanan yang lalu, kita disedarkan bahawa tadbir urus sesebuah universiti bukanlah sekadar berteraskan kepada pelan tindakan, angka mahupun kedudukan ranking semata-mata, sebaliknya ia menuntut kepada kebijaksanaan, kesabaran serta ketahanan jiwa dalam mendepani cabaran yang tidak sentiasa mudah atau selesa. Sepanjang tahun lalu, kita telah melalui pelbagai situasi yang menguji keupayaan pengurusan dan kematangan kolektif warga universiti. Terdapat perancangan yang dapat dilaksanakan dengan lancar, dan tidak kurang juga yang perlu disemak serta disusun semula. Ada keputusan yang dapat diterima dengan baik, manakala sebahagiannya mengundang persoalan dan perbincangan. Dalam kepelbagaian keadaan ini, satu pengajaran penting dapat dirumuskan iaitu amanah kepimpinan tidak boleh diurus berlandaskan emosi, persepsi semata-mata atau penilaian yang terburu-buru. Sebaliknya, ia menuntut kewarasan dalam membuat pertimbangan, kejujuran dalam melaksanakan tanggungjawab serta keberanian untuk melakukan perkara yang benar, walaupun ia tidak sentiasa popular. Daripada pengalaman inilah terbitnya kesedaran bahawa segala kekurangan yang pernah berlaku bukanlah untuk disesali, sebaliknya dijadikan asas penambahbaikan yang berterusan pada masa akan datang. Proses ini membentuk kita menjadi lebih teliti dalam membuat keputusan, lebih jujur menilai kelemahan dan lebih berani membetulkan kebiasaan yang tidak lagi sesuai, serta membudayakan amalan yang benar. Hakikatnya, perubahan jarang hadir dalam keadaan yang selesa dan sering kali mencetuskan reaksi yang pelbagai. Namun, perubahan tetap perlu dilaksanakan apabila sesuatu pendekatan tidak lagi relevan dengan keperluan semasa dan hala tuju organisasi. Memasuki tahun 2026, besar harapan saya agar seluruh warga UMK dapat memperkukuhkan azam, membulatkan tekad untuk mengamalkan budaya kerja yang lebih berfokus, berdisiplin dan berakauntabiliti di semua peringkat. Setiap keputusan dan pelaksanaan hendaklah diselaraskan dengan hala tuju strategik universiti serta dilaksanakan secara terancang dan konsisten. Penilaian terhadap setiap usaha juga wajar berasaskan impak yang boleh diukur, agar sumber yang digerakkan benar-benar memberikan pulangan strategik dan menyumbang secara signifikan kepada pencapaian universiti. Sepertimana yang telah saya maklumkan semasa pembentangan Belanjawan UMK 2026 pada 23 Disember yang lalu, bahawa pengurusan belanjawan universiti perlu difahami sebagai satu instrumen strategik dan bukannya dianggap sebagai sumber yang boleh diakses tanpa pertimbangan wajar. Setiap peruntukan hendaklah diurus secara cermat, berkeutamaan dan berintegriti, selari dengan keperluan sebenar bagi menyokong kualiti perkhidmatan serta meningkatkan impak dan daya saing universiti secara mampan. Di sebalik segala cabaran yang dihadapi, tahun 2025 tetap mencatatkan pencapaian yang signifikan hasil usaha kolektif seluruh warga UMK. Setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih saya rakamkan kepada semua yang telah bekerja dengan penuh komitmen, konsisten dan berdisiplin. Tidak lupa kepada semua Ketua-Ketua Jabatan yang telah memainkan peranan penting dalam mengemudi setiap kejayaan ini. Kepada semua Ketua-Ketua Jabatan yang baharu dilantik, jalankan tanggungjawab dan amanah yang telah diberikan. Saya yakin bahawa kekuatan universiti ini terletak pada daya kepimpinan yang jitu, tahap disiplin kerja yang mantap, kejujuran dalam memikul amanah serta kesepaduan komitmen untuk terus melangkah ke hadapan secara lebih tersusun, jelas dan berfokus. Akhir kata, saya menyeru kepada seluruh warga UMK, sentiasalah maniskan bibir dengan menyebut "Rabbi yassir wa lā tu‘assir, Rabbi tammim bil khayr” yang bermaksud “Wahai Tuhanku, permudahkanlah dan jangan Engkau persulitkan. Wahai Tuhanku, sempurnakanlah segala urusan kami dengan kebaikan.” Sekian, terima kasih. Ikhlas daripada, |
Download File / URL
|
Additional Metadata
| Item Type: | Corporate Memory |
|---|---|
| Collection Type: | Naib Canselor |
| Date: | 4 January 2026 |
| Subject Heading: | Communication |
| Subject Heading: | Top management |
| Subject Heading: | Reflections |
| Subject Heading: | Vice Chancellor |
| Institution: | Universiti Malaysia Kelantan |
| URI: | http://discol.umk.edu.my/id/eprint/16136 |
| Statistic Details: | View Download Statistic |
