Kompetensi wartawan amat penting bagi memastikan maklumat yang disampaikan kepada umum adalah tepat, seimbang, dan berkualiti tinggi. Dengan kecekapan yang kukuh, wartawan dapat menjalankan tugas mereka dengan berkesan dan menjaga integriti profesion kewartawanan. Kompetensi wartawan merangkumi aspek kesedaran, pengetahuan, dan kemahiran sebagai asas pelaporan berita dengan tepat, mempunyai objektif, dan bertanggungjawab. Kompetensi wartawan diperlukan untuk merealisasikan profesionalisme akhbar. Kajian ini dijalankan di Provinsi Riau, Indonesia dengan tiga objektif kajian iaitu untuk mengetahui pemahaman wartawan terhadap kompetensi wartawan, mengenal pasti pelaksanaan kompetensi wartawan dan tanggungjawab sosial akhbar, serta mengkonseptualisasikan penglibatan masyarakat dalam merealisasikan profesionalisme akhbar. Provinsi Riau dipilih sebagai lokasi kajian kerana Riau merupakan wilayah yang mempunyai tahap pertumbuhan media tertinggi di Indonesia dan mempunyai jumlah wartawan terbanyak. Untuk menjalankan kajian ini, Teori Kompetensi dan Teori Tanggungjawab Sosial akhbar digunakan. Kajian menggunakan kaedah kualitatif untuk mencapai tiga objektif kajian iaitu temu bual mendalam, perbincangan kumpulan fokus, dan reka bentuk pelbagai fasa. Data yang dikumpul dianalisis dan diproses menggunakan program perisian Nvivo 12. Hasil kajian menunjukkan bahawa wartawan di Riau masih belum sepenuhnya memahami kompetensi wartawan dan perlunya pendekatan yang lebih meluas kepada semua wartawan. Penerapan nilai kecekapan juga tidak memberikan galakan yang mencukupi. Dalam kajian ini, pandangan diperoleh bahawa penglibatan masyarakat perlu dipertimbangkan untuk membantu mengatasi masalah yang dihadapi oleh akhbar tanpa mengganggu kebebasan akhbar. Selanjutnya, kajian telah membangunkan kerangka konsep penglibatan masyarakat yang diharapkan mampu memberikan kesan positif terhadap pelaksanaan nilai kompetensi wartawan dan tanggungjawab sosial wartawan. Dapatan kajian ini diharapkan dapat memberikan sumbangan yang bermakna dalam meningkatkan profesionalisme akhbar berdasarkan Undang-undang Akhbar No. 40 Tahun 1999. Berdasarkan dapatan, kajian ini turut memberi sumbangan berteori dan praktikal untuk ahli akademik dan profesional. Pembatasan kajian telah dikemukakan dan beberapa cadangan yang berharga untuk kajian masa depan juga diberikan.