Citation
Arham Abdullah (2025) Lentera Hikmah Naib Canselor #42: Detik duka yang mendidik jiwa dan mentarbiah hati. [Corporate Memory] |
Abstract
DETIK DUKA YANG MENDIDIK JIWA DAN MENTARBIAH HATI Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam UMK4U 1 Hati 1 Jiwa. Dalam kesibukan warga UMK mengemudi urusan harian serta melaksanakan agenda pembangunan universiti, marilah kita sentiasa mengekalkan kewaspadaan diri agar kejayaan, kemajuan dan pencapaian yang dikecapi hari ini menjadi pemangkin untuk terus memperkukuh keinsafan, kesyukuran dan iltizam. Sesungguhnya, setiap peringatan yang dikurniakan Allah hadir sebagai ruang untuk kita bermuhasabah, merendahkan hati serta memperteguh hubungan dengan-Nya. Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan satu insiden kemalangan yang meragut nyawa seorang pelajar kita. Rentetan berita duka pada hari yang sama, kita menerima kehilangan seorang lagi insan dalam keluarga UMK. Kejadian ini sedikit sebanyak menyentap kesedaran saya bahawa selama kita mengurustadbir UMK dengan segala agenda dan perancangannya, kita perlu berhenti seketika untuk menilai apa yang masih belum sempurna. Kadangkala kita tidak sedar bahawa Allah sedang mengingatkan kita supaya kembali memperhalusi amanah yang dipertanggungjawabkan kepada kita. Saya juga menyeru agar warga UMK sentiasa berlapang dada menerima apa sahaja ujian dan dugaan dengan hati yang reda. Kejadian ini mengajar kita bahawa ada waktunya Allah hadirkan situasi yang menguji ketenangan dan keselesaan kita sebagai satu bentuk penyucian jiwa, membersihkan rasa lalai yang mungkin tanpa sedar telah bertapak, serta mengingatkan kita supaya kembali meletakkan pergantungan sepenuhnya kepada-Nya. Kejadian ini juga menjadi asbab untuk kita menebus kembali kelekaan dengan memperbanyakkan kebaikan dan amalan yang mendekatkan diri kepada Allah. Jadikan ia peringatan agar kita “menggantikan” apa yang telah terlalai selama ini dengan amalan yang menghidupkan hati. Atas dasar itu, saya mengambil langkah memulakan usaha memperkukuh budaya rohani dalam kalangan warga universiti, termasuk mengadakan solat hajat sebagai bentuk munajat memohon perlindungan, ketenangan dan keberkatan. Berbuat baiklah walau sekecil apa pun dan jangan menangguhkan kebaikan kerana masa bukan milik kita. Salinglah menjaga, peka dan saling mengingatkan, kerana kekuatan kita terletak pada hubungan dan kepedulian antara kita. Selain itu, sebagai sebahagian daripada usaha memperbaiki diri dan budaya kerja, saya telah memulakan amalan membuat pengumuman lima belas minit sebelum masuk waktu Zohor dan Asar sebagai peringatan lembut kepada seluruh warga universiti untuk mengambil ruang seketika, bersedia menunaikan kewajipan dan mengembalikan hati kepada Allah. Inisiatif ini diharapkan menjadi ruang untuk kita terus memperbaiki diri dan memperkukuh hubungan sesama warga UMK menerusi solat berjemaah. Dari Dia lah kita hadir & kepada Dia lah kita perhambakan diri yang serba lemah dan kekurangan ini. Semoga kita semua mengambil hikmah daripada apa yang berlaku dan bersama-sama memperkukuh hubungan kita dengan Allah, dengan sesama manusia. Semoga UMK sentiasa dipelihara dan dijauhkan daripada ujian yang tidak mampu kita tanggung. Sekian, terima kasih. Ikhlas daripada, |
Download File / URL
|
Additional Metadata
| Item Type: | Corporate Memory |
|---|---|
| Collection Type: | Naib Canselor |
| Date: | 14 December 2025 |
| Subject Heading: | Communication |
| Subject Heading: | Top management |
| Subject Heading: | Reflections |
| Subject Heading: | Vice Chancellor |
| Institution: | Universiti Malaysia Kelantan |
| URI: | http://discol.umk.edu.my/id/eprint/15769 |
| Statistic Details: | View Download Statistic |
