Citation
Arham Abdullah (2025) Lentera Hikmah Naib Canselor #40: Ujian banjir UMK : Hikmah & iktibar yang mendidik. [Corporate Memory] |
Abstract
UJIAN BANJIR UMK : HIKMAH & IKTIBAR YANG MENDIDIK Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Dalam 365 hari, ada beberapa hari yang Allah uji kita. Allah selesakan kita sepanjang tahun, namun diuji dengan detik yang getir untuk mengingatkan bahawa nikmat keselamatan, keselesaan dan kesihatan adalah pinjaman sementara untuk kita syukuri. Beberapa hari ini, UMK diuji dengan limpahan air banjir yang melanda Kampus Kota. Dalam keadaan perjalanan yang tergendala dan operasi kampus yang terjejas, kita belajar bahawa semua yang kita miliki boleh berubah sekelip mata. Ketika inilah daya tahan dan kesiapsiagaan kita teruji. Dalam keadaan tidak menentu, tindakan yang cekap dan teratur amat diperlukan bagi menjamin keselamatan pelajar serta memberikan keyakinan kepada ibu bapa bahawa anak-anak mereka berada dalam keadaan selamat. Di sebalik cabaran ini, terselit hikmah yang menguatkan kita. Allah menyatukan hati kita sebagai satu keluarga UMK. Kita diuji untuk berfikir pantas, membuat keputusan tepat dan mengekalkan ketenangan serta empati walaupun banyak perkara berlaku serentak. Pada saat sebegini, keberkesanan komunikasi, penyelarasan operasi dan pasukan yang bergerak sebagai satu unit menjadi strategi utama dalam menjamin kebajikan warga kampus berada pada tahap optimum. Kita amat menghargai sokongan pelbagai pihak termasuk UMKVengers, sukarelawan, rakan media, komuniti setempat, agensi keselamatan dan rakan universiti lain yang berganding bahu membantu menyediakan keperluan pelajar. Kesepaduan usaha ini membuktikan UMK mempunyai jaringan komuniti yang kuat serta budaya saling membantu yang berakar kukuh. Daripada ujian ini, kita ambil iktibar bahawa sistem dan prosedur perlu sentiasa ditambah baik agar kita lebih bersedia menghadapi situasi luar jangka. Kita juga sedar bahawa komunikasi dan koordinasi yang terancang akan memudahkan tindakan dijalankan dengan lebih pantas dan berkesan. Yang paling utama, kebajikan pelajar merupakan amanah yang tidak boleh dikompromi dalam apa jua keadaan. Walaupun ujian ini mencabar, kita tetap bersyukur kerana Allah mengurniakan kekuatan dan kemudahan untuk terus bertahan. Namun begitu, kita mesti sentiasa berwaspada kerana tempoh monsun masih berterusan. Saya menyeru semua warga UMK untuk menjaga keselamatan, terutama di kawasan rendah, serta mengikuti perkembangan cuaca daripada pihak berautoriti agar kita dapat bersedia lebih awal. Saat getir seperti ini menguji kekuatan budaya ukhuwah UMK, sejauh mana kita mampu kekal bersatu dalam cabaran. Marilah kita terus memelihara perpaduan dan memperteguh ikatan ukhuwah sebagai kekuatan UMK demi kesejahteraan bersama dan masa depan yang lebih hebat. Sekian, terima kasih. Ikhlas daripada, |
Download File / URL
|
Additional Metadata
| Item Type: | Corporate Memory |
|---|---|
| Collection Type: | Naib Canselor |
| Date: | 30 November 2025 |
| Subject Heading: | Communication |
| Subject Heading: | Top management |
| Subject Heading: | Reflections |
| Subject Heading: | Vice Chancellor |
| Institution: | Universiti Malaysia Kelantan |
| URI: | http://discol.umk.edu.my/id/eprint/15674 |
| Statistic Details: | View Download Statistic |
