Digital Special Collection Portal

Lentera Hikmah Naib Canselor #39: Kejayaan menguji budi dan membentuk kematangan kepimpinan


Citation

Arham Abdullah (2025) Lentera Hikmah Naib Canselor #39: Kejayaan menguji budi dan membentuk kematangan kepimpinan. [Corporate Memory]

Abstract

KEJAYAAN MENGUJI BUDI DAN MEMBENTUK KEMATANGAN KEPIMPINAN

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam UMK4U 1 Hati 1 Jiwa dan Salam Malaysia MADANI.

Warga UMK yang saya hormati,

Dalam dunia pendidikan tinggi yang semakin kompetitif, kejayaan sering dijadikan penanda aras kemajuan sesebuah institusi. Di UMK, saban tahun kita terus mencatatkan pelbagai pencapaian membanggakan, termasuk peningkatan ranking, pengukuhan program akademik, kolaborasi antarabangsa yang semakin meluas serta penyelidikan yang semakin berimpak.

Pada hemat saya, kejayaan wajar diraikan dan dibanggakan dengan penuh kesyukuran kerana ia adalah hasil usaha seluruh warga UMK. Tetapi, kita tidak boleh hanyut dalam euforia pencapaian dan meninggi diri. Kejayaan yang diraih sepatutnya membuka ruang untuk kita mempertingkatkan momentum, memperkukuh strategi dan bergerak ke hadapan dengan lebih matang. Kejayaan bukan lesen untuk kita meninggi diri, tetapi peluang untuk terus berbudi, berkhidmat dan menambah nilai kepada organisasi serta komuniti yang kita wakili.

Dalam konteks pembangunan budaya kerja, kekuatan sesebuah pasukan tidak hanya diukur pada pencapaian, tetapi pada nilai pekerti dan kualiti kerja yang ditunjukkan setiap hari. Jawatan dan kedudukan bukan lesen untuk meninggi diri. Ia boleh berubah mengikut keperluan organisasi, namun akhlak, integriti, budi pekerti dan cara kita melayani orang lain dengan penuh santun akan meraih kepercayaan serta penghormatan dalam organisasi.

Pengalaman saya dalam beberapa siri misi kerja rasmi dan lawatan strategik bersama delegasi UMK, saya berkesempatan memerhati bahawa karakter yang memimpin dengan kerendahan hati dan nilai peribadi yang tinggi adalah strategi kepimpinan yang akan menghasilkan hubungan profesional yang berkualiti kerana sikap ini mengukuhkan keyakinan dan mewujudkan komunikasi yang lebih konstruktif antara institusi. Kredibiliti UMK sebagai institusi akademik juga akan berada di 'classnya' yang tersendiri.

Justeru itu, saya ingin mengajak seluruh warga UMK untuk terus mengekalkan budaya kerja yang lebih santun, merendah diri dalam kecemerlangan dan berdisiplin dalam memperbaiki apa yang boleh diperbaiki.

Saya percaya, suatu hari nanti, apabila masa berubah dan kita tidak lagi berada pada kedudukan yang kita sandang hari ini, hanya dua perkara yang akan terus diingati: kualiti kerja yang telah kita tinggalkan dan budi pekerti yang pernah kita semai dalam hati orang lain. Semoga UMK terus melangkah maju sebagai sebuah universiti yang bukan sahaja cemerlang pada nama, tetapi juga kaya dengan nilai, hikmah dan kemanusiaan.

Sekian, terima kasih.

Ikhlas daripada,
Arham Abdullah

Download File / URL

[thumbnail of BANNER LH#39.png]
Preview
Image
BANNER LH#39.png

Download (2MB) | Preview
[thumbnail of LENTERA HIKMAH #39.pdf] Text
LENTERA HIKMAH #39.pdf

Download (113kB)

Additional Metadata

Item Type: Corporate Memory
Collection Type: Naib Canselor
Date: 23 November 2025
Subject Heading: Communication
Subject Heading: Top management
Subject Heading: Reflections
Subject Heading: Vice Chancellor
Institution: Universiti Malaysia Kelantan
URI: http://discol.umk.edu.my/id/eprint/15673
Statistic Details: View Download Statistic

Edit Record (Admin Only)

View Item View Item

The Office of Library and Knowledge Management, Universiti Malaysia Kelantan, 16300 Bachok, Kelantan.
Digital Special Collection (UMK Repository) supports OAI 2.0 with a base URL of http://discol.umk.edu.my/cgi/oai2