Citation
Arham Abdullah (2025) Lentera Hikmah Naib Canselor #38: Dedikasi dan prestasi, mengukuh reputasi dan mengangkat potensi. [Corporate Memory] |
Abstract
DEDIKASI DAN PRESTASI, MENGUKUH REPUTASI DAN MENGANGKAT POTENSI Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Warga UMK yang saya hormati, Minggu lalu telah berlangsung Istiadat Konvokesyen UMK Ke-15 dengan jayanya. Bersempena selesainya istiadat ini, saya terpanggil untuk berkongsi kembali perjalanan yang telah kita lalui bersama sebagai sebuah universiti. Lima belas kali konvokesyen yang telah dijalankan menunjukkan perkembangan, kematangan dan kedudukan UMK sebagai institusi pendidikan tinggi yang semakin dipercayai. Saya ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua petugas, sama ada yang berada di hadapan tabir atau di belakang tabir, yang bertugas secara langsung mahupun tidak langsung termasuk sukarelawan mahasiswa dan petugas kebersihan yang sentiasa cekap dan komited memberikan yang terbaik. Kalianlah tulang belakang yang memastikan istiadat ini berlangsung dengan tertib, berprestij dan sempurna. Semoga segala usaha, komitmen dan pengorbanan kalian dihitung sebagai amal ibadah yang diterima oleh Allah SWT dan dikurniakan sebaik-baik ganjaran. Sejak konvokesyen pertama pada 2011, UMK telah melahirkan 23,677 graduan. Tahun ini, seramai 2,968 graduan diraikan, termasuk pelajar antarabangsa dari enam negara dan mahasiswa Program SULUNG. Dengan jumlah alumni kini seramai 26,645 orang, UMK terus komited memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan bangsa melalui pendidikan berkualiti dan relevan. Pada tahun 2025, UMK terus mengekalkan kedudukan dalam Times Higher Education (THE) World University Rankings, THE Asia Rankings dan THE Global Impact Rankings. UMK juga muncul buat kali pertama dalam QS World University Rankings serta mencatat peningkatan dalam QS Asia Rankings. Selain itu, UMK berada dalam kelompok Top Five in Malaysia bagi THE Interdisciplinary Science Rankings. Pencapaian ini membuktikan usaha seluruh warga universiti selama hampir 20 tahun berada di landasan yang betul menuju sasaran Universiti Keusahawanan Terunggul ASEAN 2026 dan Asia 2030. Saya sering menegaskan bahawa kekuatan UMK tampil melalui kecemerlangan fakulti dan Pusat Tanggungjawab yang konsisten meraih pelbagai kejayaan menerusi geran penyelidikan, kolaborasi antarabangsa, pencapaian mahasiswa serta pengiktirafan terhadap staf. Kejayaan ini menggambarkan ketekunan warga akademik dan dedikasi pasukan pentadbiran yang bekerja dengan penuh tanggungjawab dan komitmen. Kepada para graduan, saya titipkan supaya sentiasa menjaga maruah diri dan nama universiti, menjadi agen perubahan yang bermanfaat kepada masyarakat dan mengekalkan hubungan dengan alma mater. UMK sentiasa terbuka menerima kepulangan alumni bagi menyumbang kepada pembangunan universiti. Kepada seluruh staf, peliharalah integriti, profesionalisme dan budaya kerja cemerlang. Pepatah “Quality is never an accident, it is always the result of intelligent effort” mengingatkan kita bahawa kejayaan UMK merupakan hasil perancangan yang teliti dan usaha bersama. Semoga kita semua terus diberi kekuatan untuk berkhidmat dengan ikhlas dan komited demi memartabatkan UMK. Terima kasih atas dedikasi yang tidak pernah putus. Semoga kita terus berkhidmat dengan komitmen yang tinggi demi kemajuan UMK. Sekian, terima kasih. Ikhlas daripada, |
Download File / URL
|
Additional Metadata
| Item Type: | Corporate Memory |
|---|---|
| Collection Type: | Naib Canselor |
| Date: | 16 November 2025 |
| Subject Heading: | Communication |
| Subject Heading: | Top management |
| Subject Heading: | Reflections |
| Subject Heading: | Vice Chancellor |
| Institution: | Universiti Malaysia Kelantan |
| URI: | http://discol.umk.edu.my/id/eprint/15672 |
| Statistic Details: | View Download Statistic |
