Citation
Arham Abdullah (2025) LENTERA HIKMAH NAIB CANSELOR #33: Idea, Inovasi dan Universiti: Menjana Ilmu, Mencipta Solusi, Memanusiakan Dunia. [Corporate Memory] |
Abstract
Idea, Inovasi dan Universiti: Menjana Ilmu, Mencipta Solusi, Memanusiakan Dunia Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Malaysia MADANI dan Salam UMK4U 1 Hati 1 Jiwa. Warga UMK yang saya hormati, Bidang penyelidikan dan inovasi amat sinonim dengan institusi pengajian tinggi. Apabila kita berbicara tentang inovasi, ia sering dikaitkan dengan teknologi canggih atau penyelidikan kompleks. Namun hakikatnya, inovasi bermula dengan sesuatu yang paling asas, iaitu sebuah idea. Saya percaya setiap perubahan besar bermula dengan sesuatu yang kecil. Idea hadir dalam pelbagai bentuk seperti ketika kita kekurangan sumber, berdepan cabaran, berbincang secara santai atau terdorong oleh semangat untuk berbakti kepada masyarakat. Apabila idea diberi ruang, bimbingan dan peluang, ia mampu berkembang menjadi inovasi yang membawa makna kepada kehidupan seharian. Pada pengamatan saya, peranan universiti kini melangkaui fungsi akademik. Universiti menjadi penggerak kepada transformasi masyarakat dan tempat di mana ilmu, kreativiti serta teknologi bersinergi untuk melahirkan penyelesaian yang bermakna. Inilah semangat yang ingin kita suburkan melalui Festival of IDEA @ Kelantan 2025 yang akan berlangsung di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) pada 13 hingga 14 Oktober ini. Saya berbangga dengan inisiatif warga UMK melalui Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) yang proaktif menyahut seruan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk memperluas gerakan Festival of Idea (FOI) ke seluruh negara. Program ini membawa makna yang jauh lebih besar daripada sekadar pameran atau perhimpunan ilmiah, kerana ia membina satu ekosistem pembelajaran terbuka yang menghubungkan pelajar, penyelidik, usahawan, industri dan komuniti dalam semangat Quadruple Helix iaitu universiti, kerajaan, industri dan masyarakat. Sebagai Universiti Keusahawanan Malaysia, UMK berperanan menjadikan idea sebagai modal insan dan inovasi sebagai nilai tambah kepada pembangunan sosioekonomi. Inovasi di UMK tidak hanya tertumpu pada penciptaan teknologi, tetapi berteraskan manusia dengan memahami denyut nadi masyarakat, menilai realiti setempat serta membina solusi yang lestari dan inklusif. Saya menyeru seluruh warga universiti, rakan industri, agensi kerajaan dan komuniti untuk bersama menjayakan agenda ini. Jadikan Festival of IDEA @ Kelantan 2025 sebagai medan untuk menyalakan semula semangat ilmu dan memperkukuh budaya inovasi yang berakar pada nilai serta kemanusiaan. Kerana pada akhirnya, kemajuan bukan diukur sejauh mana kita berinovasi, tetapi sejauh mana inovasi itu memanusiakan dunia. Ikhlas, |
Download File / URL
|
Additional Metadata
Item Type: | Corporate Memory |
---|---|
Collection Type: | Naib Canselor |
Date: | 12 October 2025 |
Subject Heading: | Communication |
Subject Heading: | Top management |
Subject Heading: | Reflections |
Subject Heading: | Vice Chancellor |
Institution: | Universiti Malaysia Kelantan |
URI: | http://discol.umk.edu.my/id/eprint/15414 |
Statistic Details: | View Download Statistic |