Citation
Arham Abdullah (2025) Lentera Hikmah Naib Canselor #31: UMK Cakna 2025: Memudahkan bukan menyusahkan. [Corporate Memory] |
Abstract
UMK CAKNA 2025: MEMUDAHKAN BUKAN MENYUSAHKAN Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Malaysia MADANI dan Salam UMK4U 1 Hati 1 Jiwa kepada seluruh warga UMK yang saya kasihi. Minggu lalu, saya berpeluang menyambut pelajar baharu di kampus dan turut meninjau proses pendaftaran yang berlangsung. Ada yang datang dari jauh, ada yang meninggalkan keluarga buat pertama kali, dan tidak kurang juga yang hampir-hampir tidak mendaftar kerana kekangan kewangan. Sejak keputusan UPU diumumkan, UMK mengambil langkah proaktif untuk mengenal pasti pelajar yang berhadapan dengan kesusahan, sama ada kerana tidak mampu membayar yuran pendaftaran dan pengajian, kekangan pengangkutan untuk hadir sesi pendaftaran di kampus, atau memikirkan kos sara diri sepanjang pengajian. Sebagai warga universiti yang prihatin, kita mesti peka dan sentiasa sensitif terhadap isu kebajikan yang melibatkan pelajar kerana mereka adalah sebahagian daripada pemegang taruh utama di universiti. Semasa sesi pendaftaran baru-baru ini, saya melihat ada dalam kalangan mereka yang datang dari jauh dengan perjalanan berhari-hari lamanya hanya kerana mahu menuntut ilmu. Ada juga yang datang dari keluarga susah, datang sehelai sepinggang demi sebuah cita-cita. Apakah kita sanggup melihat mereka berjuang sendirian sedangkan mereka juga adalah sebahagian daripada kita? Dalam konteks ini, UMK sentiasa bersedia untuk menghulurkan bantuan dan sokongan kepada mereka melalui Program UMK CAKNA 2025. Antara jenis bantuan yang disediakan ialah bayaran yuran pengajian, sumbangan tunai berjumlah RM1,000.00 dan sumbangan komputer riba bernilai RM2,000.00. Pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) turut menyediakan pelbagai jenis bantuan kewangan antaranya Program Pembangunan Siswa SULUNG dan Bantuan Awal Pengajian Yayasan Perkasa Siswa (YPS). Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir di media sebelum ini turut menegaskan bahawa semua pentadbir universiti mesti menerima masuk pelajar miskin dan memastikan pelajar tersebut mendaftar masuk terlebih dahulu. Pihak universiti juga mestilah menguruskan bantuan awal pengajian melalui PTPTN bagi pelajar tidak berkemampuan agar setiap mahasiswa yang ditawarkan tempat ke universiti tidak terlepas peluang meneruskan pendidikan. Sebagai warga UMK, sama ada pensyarah mahupun pentadbir, saya menyeru agar kita semua lebih sensitif, berjiwa besar, dan sentiasa cakna dalam membantu serta memudah cara setiap pemegang taruh kita. Kita adalah pemudah cara yang dilantik oleh Kerajaan untuk menyantuni rakyat berdasarkan prinsip integriti, ketelusan, dan keprihatinan. Apalah gunanya kita meraih pelbagai kejayaan sekiranya kita lupa pada nilai insani, ihsan dan keprihatinan. Universiti tidak akan pernah lengkap dengan hanya bangunan megah, kurikulum hebat atau kedudukan ranking yang membanggakan. Ia hanya akan sempurna apabila seluruh warganya hidup dalam budaya cakna, prihatin dan saling peduli. Kepada semua pelajar baharu, saya ucapkan selamat datang ke Keluarga UMK. Kepada pelajar perdana, selamat kembali ke kampus untuk meneruskan jihad kalian sehingga bergraduasi. Kepada semua staf UMK, kalianlah wira yang mungkin tidak didendang, tetapi setiap titik peluh dan usaha kalian adalah nadi yang menggerakkan universiti ini ke hadapan. Sebagai penutup, izinkan saya menekankan bahawa kita semua adalah UMKRIAN iaitu satu identiti yang menyatukan pelajar semasa mahupun alumni, staf akademik dan pentadbiran, serta seluruh komuniti kampus. Sebutan ini menzahirkan semangat kekitaan, keprihatinan dan kebanggaan kita sebagai sebahagian daripada keluarga besar UMK. Marilah kita terus membina legasi UMK bukan sahaja dengan pencapaian akademik dan kedudukan global, tetapi juga dengan budi, hati dan jiwa yang sentiasa mendahulukan insan lain. Sekian, terima kasih. Ikhlas, |
Download File / URL
|
Additional Metadata
| Item Type: | Corporate Memory |
|---|---|
| Collection Type: | Naib Canselor |
| Date: | 28 September 2025 |
| Subject Heading: | Communication |
| Subject Heading: | Top management |
| Subject Heading: | Reflections |
| Subject Heading: | Vice Chancellor |
| Institution: | Universiti Malaysia Kelantan |
| URI: | http://discol.umk.edu.my/id/eprint/15407 |
| Statistic Details: | View Download Statistic |
