Citation
Arham Abdullah (2025) LENTERA HIKMAH NAIB CANSELOR #30: Hari Malaysia, UMK dan Perpaduan : Membina Bangsa Melalui Pendidikan. [Corporate Memory] |
Abstract
Hari Malaysia, UMK dan Perpaduan : Membina Bangsa Melalui Pendidikan Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Malaysia MADANI dan Salam UMK4U 1 Hati 1 Jiwa kepada seluruh warga UMK yang saya kasihi. Hari Malaysia yang diraikan pada setiap 16 September mengingatkan saya bahawa kekuatan bangsa tidak bergantung pada saiz atau kekayaan, tetapi pada semangat perpaduan yang membina asas negara. Malaysia lahir daripada kebijaksanaan generasi terdahulu yang berjaya menyatukan kepelbagaian kaum, budaya dan agama untuk membentuk sebuah persekutuan yang harmoni. Firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran, Ayat 103 menegaskan: “Dan berpeganglah kamu semua kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai. Ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu bermusuhan, lalu Allah mempersatukan hati-hati kamu, sehingga dengan nikmat-Nya kamu menjadi bersaudara.” Ayat ini adalah peringatan bahawa perpaduan ialah nikmat yang wajib dipelihara. Bukankah tanpa perpaduan, semua pencapaian yang kita banggakan hari ini akan goyah? Maka Hari Malaysia harus dilihat sebagai amanah untuk mempertahankan warisan kebersamaan demi masa depan negara. Di UMK, saya melihat wajah Malaysia setiap hari. Mahasiswa dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung hadir dengan latar budaya, dialek dan pengalaman yang berbeza, namun mereka bersatu di bawah satu bumbung ilmu untuk mengejar cita-cita bersama. UMK adalah salah satu gambaran Malaysia yang harmoni dalam kepelbagaian, tempat lahirnya pemimpin masa depan yang diasuh dengan nilai perpaduan. Saya juga percaya universiti mesti menekankan prinsip keterangkuman melalui pelbagai inisiatif bagi memastikan tiada pelajar tercicir hanya kerana kekurangan. Apakah erti sebuah universiti jika ada anak bangsa yang terhalang daripada menuntut ilmu hanya kerana kesempitan hidup? Inilah sebabnya usaha menyantuni pelajar B40 dan asnaf terus diperkasa di UMK. Dalam kerangka universiti keusahawanan, semangat Hari Malaysia turut terserlah. Mahasiswa bergabung idea dan kepakaran untuk melahirkan inovasi baharu. Mereka belajar bahawa keusahawanan tidak terhad kepada keuntungan semata-mata, tetapi juga tentang mencipta peluang bersama, membina jaringan dan memberi manfaat kepada masyarakat. Tidakkah ini mencerminkan semangat Malaysia yang menjadikan kepelbagaian sebagai kekuatan? Akhir kata, saya menyeru seluruh warga UMK agar menjadikan Hari Malaysia sebagai amanah bersama. Perkukuh ilmu. Pelihara keharmonian. Pacu semangat keusahawanan. Saya yakin dengan tiga kekuatan ini, UMK akan terus melahirkan peneraju bangsa dan Malaysia akan terus melangkah gagah di persada dunia. Ikhlas daripada, Arham bin Abdullah |
Download File / URL
|
Additional Metadata
Item Type: | Corporate Memory |
---|---|
Collection Type: | Naib Canselor |
Date: | 21 September 2025 |
Subject Heading: | Communication |
Subject Heading: | Top management |
Subject Heading: | Reflections |
Subject Heading: | Vice Chancellor |
Institution: | Universiti Malaysia Kelantan |
URI: | http://discol.umk.edu.my/id/eprint/15406 |
Statistic Details: | View Download Statistic |