Digital Special Collection Portal

Lentera Hikmah Naib Canselor #26: Patriotisme dan keilmuan: Obor kemerdekaan universiti


Citation

Arham Abdullah (2025) Lentera Hikmah Naib Canselor #26: Patriotisme dan keilmuan: Obor kemerdekaan universiti. [Corporate Memory]

Abstract

PATRIOTISME DAN KEILMUAN: OBOR KEMERDEKAAN UNIVERSITI

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Malaysia MADANI dan Salam UMK4U 1 Hati 1 Jiwa kepada seluruh warga UMK yang saya kasihi.

Dalam usaha menyatukan semangat patriotisme dan penghayatan sejarah dalam kalangan warga universiti, pihak UMK telah merancang pelbagai aktiviti sepanjang bulan kemerdekaan ini. Penghayatan bulan kemerdekaan adalah detik untuk menyelami makna kebebasan, mengenang perjuangan dan sentiasa menghangatkan semangat cintakan negara dan tanah air. Ia turut mengingatkan kita kepada perjuangan para pejuang tanah air yang penuh dengan pengorbanan dalam menegakkan kedaulatan bangsa dan negara.

Pada hari ini, tanggungjawab kita adalah untuk terus menyemarakkan semangat kemerdekaan tersebut dengan obor baharu menerusi ilmu, inovasi dan jati diri. Seperti obor yang menerangi kegelapan malam, universiti ibarat obor yang menerangi masa depan yang lebih cerah, bebas daripada kejahilan dan kebergantungan. Justeru, universiti menjadi medan ilmu dan lembah yang subur untuk menyemai semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda.

Sejajar dengan ini, semangat cintakan tanah air harus dizahirkan melalui peranan mereka sebagai agen perubahan kepada perkembangan minda yang lebih kreatif dalam menyumbang penyelesaian terhadap cabaran bagaimana kita dapat mendepani masa depan yang lebih kompleks. Dengan pelbagai dugaan dan cabaran, semangat patriotisme kita kadangkala terhakis oleh pengaruh serta tindakan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Dalam Islam, “merdeka” bukan hanya bebas daripada penjajahan fizikal, tetapi lebih utama bebas daripada belenggu syirik, jahiliah, hawa nafsu dan kezaliman, menuju kepada cahaya iman, ilmu, dan ketakwaan.

Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya Allah mengutusku sebagai rahmat dan petunjuk bagi seluruh manusia.”
(Riwayat Muslim, no. 1478)

UMK khususnya, sentiasa menghangatkan suasana dalam merayakan sambutan bulan kemerdekaan negara peringkat universiti. Antaranya, setiap tahun kita menelusuri jalan-jalan utama negara dengan mengibarkan Jalur Gemilang dari Timur ke Utara, Selatan dan Barat Tanah Air menerusi Program Kembara Merdeka. Pelbagai program dan aktiviti dirangka di setiap hentian bersama agensi dan universiti-universiti yang terlibat. Program ini sarat dengan elemen keilmuan dan patriotisme, bagai menghidupkan semula naratif perjuangan kemerdekaan. Peserta dapat melihat, merasakan, dan memahami secara langsung betapa susahnya perjuangan untuk mendapatkan kebebasan.

Lebih membanggakan, Kembara Merdeka UMK turut mendapat sokongan dan tajaan daripada rakan industri dan komuniti, antaranya Aurabiocare Sdn. Bhd., Yayasan Perkasa Siswa (UMK), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Polis Diraja Malaysia (PDRM) Boon Group (Malaysia) Sdn. Bhd., Maybank Islamic Berhad, Maxis, Nestle Sdn. Bhd., NDZ Teluk Entreprise serta Khabilu Manufacturing Sdn. Bhd. Sokongan ini mencerminkan keyakinan industri terhadap usaha universiti dalam memupuk semangat patriotisme dan membina jati diri generasi muda.

UMK percaya bahawa patriotisme tanpa ilmu tidak mampu menjamin kelestarian pembangunan, manakala ilmu tanpa patriotisme tidak akan memberikan manfaat sebenar kepada negara. Justeru, marilah kita bersama-sama menjadikan patriotisme dan keilmuan sebagai obor kemerdekaan universiti yang akan terus menyinari masa depan Malaysia.

Ikhlas daripada,
Arham bin Abdullah

Download File / URL

[thumbnail of BANNER LH#26.png]
Preview
Image
BANNER LH#26.png

Download (2MB) | Preview
[thumbnail of LENTERA HIKMAH #26.pdf] Text
LENTERA HIKMAH #26.pdf

Download (125kB)

Additional Metadata

Item Type: Corporate Memory
Collection Type: Naib Canselor
Date: 24 August 2025
Subject Heading: Communication
Subject Heading: Top management
Subject Heading: Reflections
Subject Heading: Vice Chancellor
Institution: Universiti Malaysia Kelantan
URI: http://discol.umk.edu.my/id/eprint/15274
Statistic Details: View Download Statistic

Edit Record (Admin Only)

View Item View Item

The Office of Library and Knowledge Management, Universiti Malaysia Kelantan, 16300 Bachok, Kelantan.
Digital Special Collection (UMK Repository) supports OAI 2.0 with a base URL of http://discol.umk.edu.my/cgi/oai2