Citation
Arham Abdullah (2025) LENTERA HIKMAH NAIB CANSELOR #18: AGENDA DIGITAL UMK : MENTRANSFORMASI KAMPUS DENGAN TEKNOLOGI. [Corporate Memory] |
Abstract
AGENDA DIGITAL UMK : MENTRANSFORMASI KAMPUS DENGAN TEKNOLOGI Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Malaysia MADANI dan Salam UMK4U, 1 Hati 1 Jiwa kepada seluruh warga Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang saya muliakan. Dalam era yang terus bergerak pantas ini, kita sedang menyaksikan satu anjakan paradigma besar-besaran daripada dunia analog kepada ekosistem digital yang dinamik dan inklusif. Dalam realiti semasa, mereka yang tidak mampu beradaptasi akan tertinggal jauh di belakang, manakala mereka yang berani mendepani arus teknologi akan menjadi peneraju utama perubahan. Justeru, UMK harus bersedia sepenuhnya untuk membentuk ekosistem kampus yang benar-benar digital iaitu sebuah kampus pintar yang bukan sahaja cekap dan inovatif, malah menyeluruh dari segi infostruktur, infrastruktur, pengajaran dan pembelajaran, pentadbiran, penyelidikan, keusahawanan, sehingga kepada aspek kesejahteraan pelajar. Transformasi digital bukan lagi sekadar pilihan malah keperluan strategik yang tidak boleh diabaikan. Dalam usaha menjayakan agenda ini, langkah pertama yang telah kita lakukan ialah memastikan seluruh kampus di UMK dilengkapi dengan liputan Wi-Fi dan rangkaian selular pada tahap yang optimum. Sehingga kini, pencapaian liputan wifi di ketiga-tiga kampus utama kita telah mencapai paras 85%, dan sasaran untuk melengkapkan baki 15% sebelum hujung tahun ini sedang dalam proses penyiapan. Dengan sokongan peruntukan daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Kementerian Kewangan (MOF) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), saya yakin dan optimis bahawa matlamat ini pasti tercapai. Selain itu, kita juga akan melakukan penilaian menyeluruh terhadap sistem digital sedia ada, terutamanya yang berkaitan dengan proses pengajaran dan pembelajaran, demi memastikan kesesuaian dan keberkesanan operasinya dalam menyokong pendidikan abad ke-21. Di dalam bidang automasi pentadbiran pula, UMK menerusi Pusat Komputeran dan Informatik (CCI) telah mencatatkan beberapa kejayaan signifikan. Antaranya ialah pembangunan dua sistem utama iaitu Sistem Pengurusan Perbelanjaan Jabatan & Universiti (eVot ) dan Sistem Pengurusan Latihan Staf (eTraining ). Selain itu, Sistem Permohonan Kemasukan Bersepadu juga telah berjaya diperkenalkan sebagai sebahagian daripada inisiatif pendigitalan. Agenda digital yang ingin kita capai ini bukan sekadar soal teknologi, tetapi merupakan sinergi antara akal dan data, inovasi dan nilai, serta kecekapan dan integriti. Dengan sokongan infrastruktur dan infostruktur yang kukuh, sistem yang sentiasa dikemaskini, serta budaya organisasi yang fleksibel dan berorientasikan perubahan, saya yakin UMK akan muncul sebagai sebuah kampus pintar yang tidak hanya melahirkan graduan celik teknologi, tetapi juga insan yang beretika, berwibawa, dan berjiwa hamba kepada Allah SWT. Sekian, terima kasih. Ikhlas daripada; |
Download File / URL
|
Additional Metadata
Item Type: | Corporate Memory |
---|---|
Collection Type: | Naib Canselor |
Date: | 29 June 2025 |
Subject Heading: | Communication |
Subject Heading: | Top management |
Subject Heading: | Reflections |
Subject Heading: | Vice Chancellor |
Institution: | Universiti Malaysia Kelantan |
URI: | http://discol.umk.edu.my/id/eprint/15259 |
Statistic Details: | View Download Statistic |