Digital Special Collection Portal

Lentera Hikmah Naib Canselor #12: UMK Future: Mewariskan kepimpinan, menyulam amanah


Citation

Arham Abdullah (2025) Lentera Hikmah Naib Canselor #12: UMK Future: Mewariskan kepimpinan, menyulam amanah. [Corporate Memory]

Abstract

UMK FUTURE: MEWARISKAN KEPIMPINAN, MENYULAM AMANAH

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Malaysia MADANI, dan Salam UMK4U, 1 Hati 1 Jiwa kepada seluruh warga Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang saya muliakan.

Kepimpinan adalah amanah. Ia tidak boleh lahir secara kebetulan, apatah lagi diserahkan tanpa persiapan. Justeru, saya percaya bahawa kepimpinan perlu dilahirkan by design (dibentuk secara terancang dan sistematik). Dalam konteks UMK, kita mesti berani mengambil pendekatan progresif yang menjadikan pembangunan bakat dan pelan penggantian sebagai agenda strategik yang harus diberi keutamaan.

Seiring dengan 14 Langkah strategik awal atau quick wins UMK, saya telah mengumumkan bahawa UMK bakal memperkenalkan Rangka Kerja Pelan Penggantian (Succession Plan Framework) dan kepimpinan by design yang pertama di UMK. Pejabat Pendaftar telah diamanahkan untuk memimpin usaha ini dengan menyediakan latihan kempimpinan yang berstruktur bagi membangunkan potensi staf akademik dan bukan akademik ke arah yang lebih progresif.

Rangka kerja ini tidak hanya bersifat teori. Ia akan digerakkan dengan tindakan konkrit yang melibatkan program latihan, bimbingan, sangkutan, mentoring, serta pengiktirafan dan pengukuhan bakat yang mempunyai potensi tinggi untuk memimpin UMK di masa hadapan.

UMK akan turut bekerjasama dan memanfaatkan program-program pembangunan kepimpinan yang disediakan oleh pihak Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) disamping memperkenalkan modul dalaman UMK yang dirangka khusus berpandukan model kepimpinan yang sesuai.

Saya juga ingin memaklumkan bahawa UMK bakal memperkenalkan Program Pengantarabangsaan Pentadbir UMK (UMK Global Admin Leadership Programme) yang menawarkan peluang sangkutan dan pendedahan diperingkat antarabangsa. Program ini akan melibatkan rangkaian universiti, rakan strategik, pejabat kedutaan, serta organisasi korporat yang mempunyai reputasi tinggi.
Melalui program ini, staf pentadbiran UMK akan dapat memahami amalan pengurusan pada peringkat antarabangsa di samping dapat membina rangkaian global dan sekaligus menjadi pemimpin dan pentadbir universiti yang berfikiran global.

Selain daripada itu juga, universiti turut meneruskan inistiatif pelaksanaan Program UMK Rising Star bagi memperkasakan kepimpinan staf akademik. Ini merupakan program khas yang diperkenalkan untuk membimbing saintis muda menerusi program bimbingan dan kursus yang telah disusun bagi memastikan objektif utama program ini iaitu menjadi pakar dalam bidang dan menjadi pelapis kepada pakar sedia ada tercapai. Melalui bimbingan khas ini, staf akademik yang terpilih akan ditawarkan geran menerusi dua bidang kategori iaitu Sains dan Teknologi serta Sains Sosial.

Inisiatif ini akan menjadi game changer dalam mempersiapkan UMK menghadapi landskap pendidikan tinggi yang semakin mencabar dan kompetitif. Oleh itu, saya menyeru kepada semua warga UMK agar memahami bahawa, perubahan budaya kepimpinan yang kita bawa ini adalah satu amanah besar, bukan hanya untuk saya sebagai Naib Canselor, tetapi untuk kita semua yang diberi kepercayaan mengurus universiti ini.

Rasulullah SAW Bersabda :
"Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu akan dipertanggungjawabkan terhadap kepimpinannya..."

(Hadith Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Kita bukan sekadar membangunkan universiti untuk hari ini, tetapi sedang menyulam benih kepimpinan untuk diwariskan kepada generasi akan datang. Biarlah UMK dikenang sebagai universiti yang mempersiapkan pemimpinnya dengan hikmah, ilmu, pengalaman, dan nilai keinsanan.

Saya yakin dan percaya bahawa dengan UMK Future, kita bukan sahaja menyiapkan universiti untuk esok, tetapi kita sedang mencipta universiti untuk masa depan.

Sekian, terima kasih.

Ikhlas daripada;

Arham Abdullah

Download File / URL

[thumbnail of BANNER LH#12.jpg]
Preview
Image
BANNER LH#12.jpg

Download (329kB) | Preview
[thumbnail of LENTERA HIKMAH #12.pdf] Text
LENTERA HIKMAH #12.pdf

Download (149kB)

Additional Metadata

Item Type: Corporate Memory
Collection Type: Naib Canselor
Date: 18 May 2025
Subject Heading: Communication
Subject Heading: Top management
Subject Heading: Reflections
Subject Heading: Vice Chancellor
Institution: Universiti Malaysia Kelantan
URI: http://discol.umk.edu.my/id/eprint/15230
Statistic Details: View Download Statistic

Edit Record (Admin Only)

View Item View Item

The Office of Library and Knowledge Management, Universiti Malaysia Kelantan, 16300 Bachok, Kelantan.
Digital Special Collection (UMK Repository) supports OAI 2.0 with a base URL of http://discol.umk.edu.my/cgi/oai2