Digital Special Collection Portal

Lentera Hikmah Naib Canselor #10: Rekayasa akademik: Membangun kecemerlangan ilmu di Universiti Malaysia Kelantan


Citation

Arham Abdullah (2025) Lentera Hikmah Naib Canselor #10: Rekayasa akademik: Membangun kecemerlangan ilmu di Universiti Malaysia Kelantan. [Corporate Memory]

Abstract

REKAYASA AKADEMIK : MEMBANGUN KECEMERLANGAN ILMU DI UNIVERSITI MALAYSIA KELANTAN

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Malaysia MADANI, dan Salam UMK4U, 1 Hati 1 Jiwa kepada seluruh warga UMK yang saya kasihi sekalian.

Kita perlu sedar bahawa landskap pendidikan tinggi hari ini tidak pernah statik. Universiti sentiasa berdepan dengan pelbagai cabaran yang berubah mengikut zaman. Pemahaman terhadap cabaran masa lalu dan semasa adalah penting bagi memastikan universiti sentiasa kekal relevan, berdaya saing dan memenuhi tuntutan negara dan masyarakat. Universiti perlu merekayasa kurikulum agar selari dengan keperluan semasa. Ia bukan hanya melibatkan perubahan kurikulum semata-mata, tetapi meliputi keseluruhan ekosistem pembelajaran. Saya telah menggariskan beberapa langkah strategik awal atau quick wins. Namun langkah-langkah ini bukan sekadar pelan tindakan, tetapi merupakan komitmen yang akan dijayakan bersama-sama seluruh warga universiti.

Saya ingin berkongsi tiga program utama dari Pejabat Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa yang mempunyai matlamat untuk memperkasa kewibawaan akademik dan warga UMK iaitu Program Bicara Pakar@UMK, MasBudiAkademik@UMK dan AmazingUMK@School. BiacaraPakar@UMK akan menampilkan tujuh teras bidang kepakaran antaranya keusahawanan, sains, alam sekitar, dan kesejahteraan insan, dengan sub-bidang yang disesuaikan mengikut keperluan semasa. Program ini bertujuan memberi pendedahan dan ilmu yang relevan dengan perkembangan masa kini.

Program MasBudiAkademia@UMK pula bertujuan untuk memperkasa pensyarah UMK melalui pengiktirafan, seperti pengajar terbaik dan berinovasi dalam kaedah pengajaran. Program ini turut mencungkil bakat pensyarah melalui ekspresi seni dan teater dan mencipta platform untuk kreativiti dalam dunia pendidikan. Manakala bagi Program AmazingUMK@School, ia adalah penjenamaan semula kepada UMK@School. Ia juga disenadakan dengan program di peringkat Persekutuan, iaitu Sekolah Angkat MADANI. Tujuan program ini ialah untuk memberi kesedaran mengenai cabaran pendidikan kepada ibu bapa, guru dan pelajar.

Dengan pendekatan bersemuka dan dalam talian, program ini akan menyebarkan ilmu tentang STEM, pendidikan, dan kerjaya. Antara kandungannya ialah TuisyenOnline@UMK dan MotivationOnline@UMK yang akan diberikan secara percuma untuk pelajar di seluruh Malaysia. Saya percaya, inilah masanya untuk kita bersama mewakafkan ilmu, merubah landskap pendidikan dan membuka peluang tanpa sempadan.

Rasulullah SAW bersabda :

"Jika seseorang meninggal dunia, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariyah, ilmu yang bermanfaat, dan anak soleh yang mendoakannya." (HR. Muslim No. 1631)

Hadis ini menjelaskan bahawa Ilmu yang bermanfaat termasuk salah satu amal jariah yang terus mengalir pahalanya setelah seseorang meninggal. Begitulah konsep wakaf ilmu yang diterapkan dalam Islam.

Usaha berterusan dalam rekayasa akademik ini membuktikan komitmen UMK untuk menjadi pusat kecemerlangan ilmu yang bukan hanya melahirkan graduan berdaya saing, malah menyumbang kepada pembangunan lestari negara dan sejagat. Dalam kata lain, UMK tidak sekadar mendidik untuk cemerlang dalam bidang akademik, tetapi mendidik untuk kehidupan.

Sempena Istiadat Pemasyhuran Pro-Canselor dan Konvokesyen UMK Ke-14 yang akan berlangsung pada 5-8 Mei 2025 ini, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua graduan UMK yang bakal melangkah ke pentas konvokesyen. Semoga kejayaan ini menjadi permulaan kepada pencapaian yang lebih besar dalam kehidupan. Tidak lupa juga saya titipkan penghargaan kepada seluruh warga staf UMK yang telah bertungkus lumus dalam memastikan majlis istiadat ini berlangsung dengan sempurna dan jayanya. Semoga komitmen dan usaha ikhlas kalian semua diberkati oleh Allah S.W.T hendakNya.

Sekian, terima kasih.

Ikhlas daripada;

Arham Abdullah

Download File / URL

[thumbnail of BANNER LH#10.jpg]
Preview
Image
BANNER LH#10.jpg

Download (311kB) | Preview
[thumbnail of LENTERA HIKMAH #10.pdf] Text
LENTERA HIKMAH #10.pdf

Download (123kB)

Additional Metadata

Item Type: Corporate Memory
Collection Type: Naib Canselor
Date: 4 May 2025
Subject Heading: Communication
Subject Heading: Top management
Subject Heading: Reflections
Subject Heading: Vice Chancellor
Institution: Universiti Malaysia Kelantan
URI: http://discol.umk.edu.my/id/eprint/15218
Statistic Details: View Download Statistic

Edit Record (Admin Only)

View Item View Item

The Office of Library and Knowledge Management, Universiti Malaysia Kelantan, 16300 Bachok, Kelantan.
Digital Special Collection (UMK Repository) supports OAI 2.0 with a base URL of http://discol.umk.edu.my/cgi/oai2