Digital Special Collection Portal

LENTERA HIKMAH NAIB CANSELOR#7: SINERGI UMK : MENGAKAR MASA DEPAN KEUSAHAWANAN


Citation

Arham Abdullah (2025) LENTERA HIKMAH NAIB CANSELOR#7: SINERGI UMK : MENGAKAR MASA DEPAN KEUSAHAWANAN. [Corporate Memory]

Abstract

SINERGI UMK: MENGAKAR MASA DEPAN KEUSAHAWANAN

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Malaysia MADANI, dan Salam UMK4U, 1 Hati 1 Jiwa kepada seluruh warga UMK yang saya kasihi sekalian.

Universiti Malaysia Kelantan sentiasa komited untuk memposisikan diri sebagai universiti keusahawanan yang dinamik dan relevan. Dalam persekitaran yang pantas berubah serta didorong oleh transformasi digital dan teknologi disruptif, universiti tidak lagi boleh bergantung kepada pendekatan konvensional. Justeru, usaha untuk membina kekuatan dalaman dan mewujudkan kerjasama luar yang strategik perlu diperkukuh secara menyeluruh dan berterusan agar UMK kekal berada di hadapan.

Dalam Perutusan Naib Canselor sebelum ini, saya telah usulkan agar setiap fakulti di UMK membina identiti keusahawanan tersendiri sebagai strategi untuk memperkukuh daya saing universiti serta kekal relevan dengan kehendak semasa. Antara yang telah dikenal pasti termasuk BizzPreneur (Fakulti Keusahawanan & Perniagaan), TourisPreneur (Fakulti Hospitaliti, Pelancongan dan Kesejahteraan), CreativePreneur (Fakulti Teknologi Kreatif & Warisan), dan AgroPreneur (Fakulti Industri Asas Tani). Beberapa fakulti lain turut menunjukkan potensi tersendiri dan sedang bergerak ke arah yang sama.

Saya percaya bahawa pengukuhan sinergi dengan agensi kerajaan, sektor swasta, korporat, industri dan komuniti merupakan tunjang utama kepada pembinaan ekosistem keusahawanan UMK yang mampan. Melalui pelaksanaan pelbagai program seperti UMK Business Challenge, kerjasama penyelidikan industri, pemindahan teknologi serta inisiatif pembangunan komuniti, kita telah melihat bagaimana kepakaran dan sumber boleh digembleng secara menyeluruh demi memberi impak sosioekonomi yang lebih luas.Perkara ini selari dengan tuntutan Al-Quran yang menggalakkan kerjasama dalam perkara kebaikan. Firman Allah SWT:

“Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan.”
(Surah Al-Ma’idah, ayat 2)

Dalil ini mengangkat konsep sinergi dan kerjasama strategik yang sedang diketengahkan oleh UMK bersama pelbagai pihak demi manfaat bersama, pembangunan masyarakat dan penyuburan nilai murni dalam ekosistem universiti.

Namun begitu, untuk memastikan usaha ini benar-benar mengakar, ia tidak boleh hanya bergantung kepada dasar atau dokumen perancangan. Apa yang lebih penting adalah bagaimana ia diterjemahkan dalam bentuk budaya kerja, pendekatan pentadbiran dan pembentukan identiti keusahawanan yang jelas di setiap fakulti dan pusat tanggungjawab (PTj). Setiap fakulti dan PTj perlu memberi perhatian serius dalam membina identiti keusahawanan mereka dan bukan sekadar sebagai penjenamaan semata-mata, tetapi sebagai bukti komitmen untuk memastikan DNA keusahawanan benar-benar mengalir dalam "darah daging" UMK, bukan sekadar silibus, kurikulum dan aktiviti kokurikulum.

Oleh yang demikian, besarlah harapan saya agar pembudayaan keusahawanan dapat direalisasikan secara menyeluruh oleh seluruh warga UMK, merentasi bidang dan fungsi masing-masing. Saya yakin, dengan kesungguhan dan semangat kebersamaan, kita mampu membentuk sebuah budaya yang bukan sahaja melahirkan graduan yang berilmu, tetapi juga individu yang celik terhadap peluang, bijak mencipta nilai dan bersedia mencorakkan masa depan mereka dengan berani dan bertanggungjawab.

Sekian, terima kasih.

Ikhlas daripada ;

Arham Abdullah

Download File / URL

[thumbnail of BANNER LH #7 .jpeg] Image
BANNER LH #7 .jpeg

Download (300kB)
[thumbnail of LENTERA HIKMAH #7.pdf] Text
LENTERA HIKMAH #7.pdf

Download (143kB)

Additional Metadata

Item Type: Corporate Memory
Collection Type: Naib Canselor
Date: 13 April 2025
Subject Heading: Communication
Subject Heading: Top management
Subject Heading: Reflections
Subject Heading: Vice Chancellor
Institution: Universiti Malaysia Kelantan
URI: http://discol.umk.edu.my/id/eprint/15174
Statistic Details: View Download Statistic

Edit Record (Admin Only)

View Item View Item

The Office of Library and Knowledge Management, Universiti Malaysia Kelantan, 16300 Bachok, Kelantan.
Digital Special Collection (UMK Repository) supports OAI 2.0 with a base URL of http://discol.umk.edu.my/cgi/oai2