Citation
Arham Abdullah (2025) Lentera Hikmah Naib Canselor #6: Budaya kerja unggul pemangkin kecemerlangan UMK. [Corporate Memory] |
Abstract
BUDAYA KERJA UNGGUL PEMANGKIN KECEMERLANGAN UMK Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Malaysia MADANI, dan Salam Aidilfitri kepada seluruh warga UMK yang saya kasihi sekalian. Pada minggu ini, saya ingin mengajak seluruh warga UMK untuk sama-sama menelusuri penulisan saya yang memfokuskan kepada Budaya Kerja Unggul. Kecekapan dan ketelitian warga kerja UMK dalam melaksanakan tugasan adalah cerminan kepada kecemerlangan institusi ini. Ia bukan sahaja menyumbang secara langsung kepada peningkatan produktiviti, malah menjadi indikator utama kepada tahap profesionalisme kita serta integriti yang menjadi teras dalam pentadbiran dan pengurusan universiti. Kita sering melaungkan hasrat untuk mencapai kecemerlangan dan keunggulan dalam pelbagai bidang. Namun, persoalan yang wajar kita renungi bersama ialah sejauh mana kita bersungguh-sungguh dan komited memastikan budaya kerja yang efisien, berintegriti dan berkualiti terus diamal, diperkasa dan ditambah baik dari semasa ke semasa? Dalam Perutusan Naib Canselor yang lalu, saya telah merangkumkan semua aspirasi melalui satu kerangka dinamik iaitu akronim IKHTIAR UMK30. IKHTIAR UMK30 bukan sekadar slogan, sebaliknya ia merupakan satu manifestasi nilai teras utama yang telah lama terpahat dalam DNA UMK iaitu Pertama; Kreativiti dan Inovasi, Kedua; Kesediaan untuk membuat dan menerima perubahan dan Ketiga; Bersikap profesionalisme dalam segala tindakan. Nilai-nilai ini harus dihayati secara mendalam dan diterjemahkan dalam setiap aspek tugasan serta tanggungjawab yang digalas. Dalam mengangkat ketiga-tiga nilai ini, integriti menjadi elemen pengukuh yang tidak boleh diketepikan. Tanpa integriti, segala bentuk kreativiti, perubahan dan profesionalisme akan kehilangan makna serta hala tuju seterusnya terpesong daripada hala tuju sebenar kecemerlangan dan kejayaan institusi. Budaya kerja unggul yang dihasilkan inilah merupakan salah satu elemen terpenting yang mendorong sesebuah organisasi ke arah kecemerlangan yang berterusan. Di UMK, saya mengharap dan menyeru agar setiap warga kerja bukan sahaja melaksanakan amanah dengan penuh komitmen dan kejujuran, malah menjunjung tinggi prinsip ketelusan dan integriti dalam setiap tindakan. Allah SWT berfirman dalam surah Al-Anfaal ayat 27 bermaksud : "Wahai orang beriman. Jangan kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (jangan) kamu mengkhianati amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya)". Akhir kata, marilah kita bersama-sama memupuk dan memperkukuh budaya kerja unggul, memperhalusi niat dan tindakan kita, serta menyemarakkan semangat kerja berpasukan sebagai asas kepada UMK yang lebih cemerlang. Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin. Semoga kita semua kembali bekerja dengan semangat baharu, penuh iltizam dan keazaman untuk terus menjadikan UMK sebagai universiti terunggul di persada antarabangsa. Sekian, terima kasih. Ikhlas daripada ; Arham Abdullah |
Download File / URL
|
Additional Metadata
| Item Type: | Corporate Memory |
|---|---|
| Collection Type: | Naib Canselor |
| Date: | 6 April 2025 |
| Subject Heading: | Communication |
| Subject Heading: | Top management |
| Subject Heading: | Reflections |
| Subject Heading: | Vice Chancellor |
| Institution: | Universiti Malaysia Kelantan |
| URI: | http://discol.umk.edu.my/id/eprint/15173 |
| Statistic Details: | View Download Statistic |
