Citation
Arham Abdullah (2025) LENTERA HIKMAH NAIB CANSELOR#3: Kerendahan Hati Kemuliaan Diri. [Corporate Memory] |
Abstract
Kerendahan Hati Kemuliaan Diri Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Malaysia MADANI dan Salam Cintaku 1 Hati 1 Jiwa buat seluruh warga UMK sekalian. Pagi ini saya ingin menarik perhatian Tuan-Tuan dan Puan-Puan sejenak untuk sama-sama menghayati penulisan ini dan menjentik hati kita semua. Ketinggian ilmu, kemuliaan pangkat, dan kedudukan dalam organisasi bukanlah menjadi ukuran mutlak untuk menilai seseorang di sisi Allah SWT. Sebaliknya, yang paling mulia di sisi-Nya adalah mereka yang sentiasa bertakwa dan memiliki kerendahan hati serta kasih sayang terhadap sesama manusia. Sebagai sebuah institusi ilmu yang bertunjangkan kebitaraan akademik dan pembinaan sahsiah manusia, warga UMK harus secara berterusan memelihara budaya hormat-menghormati dan adab yang luhur dalam setiap interaksi, tanpa mengira kedudukan dan pangkat. Sikap merendah diri bukanlah tanda kelemahan, tetapi sebaliknya, ia cerminan kebijaksanaan seorang pemimpin dan insan yang berjiwa besar. Rasulullah SAW, seorang pemimpin agung yang disayangi umat, sentiasa menunjukkan teladan luar biasa dalam segala hal. Baginda tidak pernah mencela para sahabat, tidak menghina mereka dengan kata-kata kesat, apatah lagi menggunakan kedudukannya untuk menindas orang lain. Sebaliknya, Baginda sentiasa menyantuni sesiapa sahaja dengan penuh kasih sayang, kelembutan dan berhikmah. Sabda Rasulullah SAW : Jawatan yang kita sandang hari ini, sama ada sebagai Naib Canselor, Timbalan Naib Canselor, Pendaftar, Dekan, Pengarah atau mana-mana kedudukan dalam hierarki Universiti, hanyalah amanah sementara yang perlu ditanggung dan perlu dijawab di hadapan Allah kelak. Bekalan perjalanan kehidupan bukan terletak pada kebesaran nama atau kedudukan, tetapi pada amalan soleh yang ikhlas dalam setiap perbuatan kita. Kemuliaan seseorang tidak bergantung pada pangkat, sebaliknya pada keikhlasan dalam menunaikan amanah, integriti dalam melaksanakan tanggungjawab, serta kemampuan menjaga maruah diri dan orang lain. Ungkapan kata Inggeris ada menyebut “Nothing in life is permanent, be humble". Ungkapan ini memberi satu peringatan kepada kita bahawa segala sesuatu dalam kehidupan ini bersifat sementara. Keadaan, kejayaan, atau kesulitan yang kita alami tidak akan bertahan selama-lamanya. Oleh itu, kita disarankan untuk bersikap rendah hati dan tidak bermegah dengan apa yang kita miliki, kerana semuanya boleh berubah. Kesederhanaan dan rasa syukur dalam menghadapi kehidupan adalah penting. Justeru, saya mengajak diri saya dan seluruh warga kerja UMK, marilah kita sama-sama wujudkan suasana kerja yang harmoni, beradab, dan penuh dengan rasa hormat sesama kita. Tanggalkan ego yang berlebihan, hindari tutur kata yang melukakan hati, dan hiasilah diri dengan kelembutan serta kebijaksanaan dalam berbicara. Insya-Allah, dengan pembudayaan sikap ini, kita bukan sahaja membentuk suasana kerja yang lebih positif tetapi juga memperoleh keberkatan dan keredhaan Allah SWT dalam setiap perkara yang kita lakukan. Sekian, terima kasih. Ikhlas daripada ; Arham Abdullah |
Download File / URL
|
Additional Metadata
Item Type: | Corporate Memory |
---|---|
Collection Type: | Naib Canselor |
Date: | 16 March 2025 |
Subject Heading: | Communication |
Subject Heading: | Top management |
Subject Heading: | Reflections |
Subject Heading: | Vice Chancellor |
Institution: | Universiti Malaysia Kelantan |
URI: | http://discol.umk.edu.my/id/eprint/15170 |
Statistic Details: | View Download Statistic |