Penggunaan merupakan rutin penting bagi manusia untuk menjalani kehidupan seharian. Walau bagaimanapun, kehendak manusia dalam penggunaan yang tidak terkawal akan membawa kepada kehendak manusia yang tidak terhad. Kehendak Manusia Tidak Terhad (KMTT) merupakan salah satu daripada andaian ekonomi Islam arus perdana. Andaian ini dikatakan diambil daripada falsafah ekonomi Barat dan kemudian diolah menjadi falsafah Islam. Tambahan pula, kajian berkenaan kehendak manusia tidak terhad ini kurang dikaji oleh sarjana Islam secara terperinci kerana mash tiada persetujuan akhir terhadap perbahasan kehendak manusia tidak terhad yang sesuai dalam ekonomi Islam. Bagi mengkaji permasalahan ini, tiga (3) objektif kajian diketengahkan. Pertama, mengenal pasti perbincangan tentang nafsu (kehendak) manusia menurut tasawur Islam. Kedua, memahami pengaruh nafsu terhadap kepenggunaan menurut Islam dalam andaian KMTT. Ketiga, mencadangkan andaian kehendak manusia tidak terhad yang sesuai dalam ekonomi Islam. Ketiga-tiga objektif ini dicapai melalui kajian kualitatif berbentuk penerokaan dan deskriptif dengan menggunakan analisis kandungan serta disokong oleh data temu bual daripada pakar ekonomi Islam. Kajian ini juga menggunakan perisian ATLAS ti bagi menganalisis data-data berkaitan nafsu dan Kehendak Manusia Tidak Terhad. Analisis ini membawa kepada tiga (3) kesimpulan. Pertama, falsafah ekonomi Islam mengenai kehendak manusia dalam kepenggunaan Islam yang berdasarkan tasawur Islam sepenuhnya perlu dibangunkan dan dikembangkan tanpa campur tangan daripada mana-mana teori konvensional dan memfokuskan sepenuhnya ilmu daripada al-Quran, Hadis, ijma', giyas dan sumber-sumber lain yang disepakati oleh ulama. Kedua, wasatiyyah dalam penggunaan dapat membantu menyeimbangkan kehendak manusia yang tidak terhad. Ketiga, kehendak manusia boleh dikawal dengan keimanan, penjagaan nafsu dengan baik, dan disiplin atau akhlak yang tinggi. Terdapat empat (4) implikasi yang diperoleh daripada kajian ini. Pertama, pemahaman tentang konsep kehendak manusia menurut tasawur Islam ini membolehkan penyelidik memahami bahawa nafsu dan kehendak manusia adalah berperingkat dan mudah berubah-ubah. Kehendak manusia boleh dibataskan jika manusia mampu mengawalnya. Kedua, konsep nafsu menurut tasawur Islam dapat diaplikasikan dalam andaian Kehendak Manusia Tidak Terhad. Ketiga, masyarakat akan lebih peka dalam mengawal kehendak dengan cara mendahulukan keperluan dalam penggunaan dan melebihkan infak daripada mengikut hawa nafsu. Keempat, institusi pendidikan akan melahirkan pelajar akan lebih berhemat dan bijak mengatur setiap penggunaan mereka serta terhindar daripada masalah kewangan.