Kajian ini mengenai integrasi kaum melalui interaksi sosial etnik Melayu dan Siam di Mukim Terbak. Walaupun wujudnya defisit sosial yang berbeza dari aspek ras, keturunan, bahasa, budaya dan agama, tetapi kedua-dua etnik ini dapat mempamerkan suasana yang harmoni dan kesepaduan sosial dalam bermasyarakat serta tiada sebarang konflik. Kajian ini meletakkan tiga objektif utama iaitu pertama, untuk menyatakan tahap kefahaman aspek keupayaan orang Siam dalam mengekalkan identiti mereka. Objektif kedua adalah untuk mengetengahkan faktor-faktor yang mempengaruhi interaksi sosial antara mereka dan objektif akhir adalah untuk menjelaskan bentuk nilai, kesan pelaksanaan dasar-dasar kerajaan. Kajian ini menggunakan kaedah kualitatif. Data primer diperoleh melalui sesi temu bual bersemuka melibatkan tujuh informan yang berautoriti dengan menggunakan soalan semi berstruktur. Kaedah pemerhatian juga digunakan sewaktu program kebudayaan dan kemasyarakatan yang diadakan dalam komuniti tersebut. Kajian ini mendapati faktor ajaran agama, budaya, program kebudayaan, aktiviti kemasyarakatan dan dasar kerajaan yang terbuka terhadap hak minoriti turut menyumbang kepada perasaan hormat menghormati, toleransi, nilai kasih sayang dan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat etnik Melayu dan Siam. Semua faktor tersebut telah membawa kepada integrasi kaum melalui kesepaduan sosial dan keharmonian masyarakat di Mukim Terbak, Tumpat, Kelantan. Justeru, dapatan kajian ini dapat memberi nilai tambah kepada pelaksanaan Dasar Pendidikan Kebangsaan di Institusi Pendidikan. Selain itu, dapatan kajian juga dapat memantapkan Dasar Kebudayaan Negara melalui program kebudayaan dan kemasyarakatan dalam sesebuah masyarakat serta berupaya membawa kepada pemantapan integrasi kaum dan kesepaduan sosial antara etnik di Malaysia.