Zaman Cankam terkenal dalam kalangan masyarakat seluruh dunia kerana tempoh ini dikenali sebagai zaman kegemilangan kesusasteraan bahasa Tamil yang mengambil tempoh masa lebih seribu tahun. Perbezaan yang ketara wujud antara karya dengan karya lain yang lahir dalam tempoh tersebut. Teks Thirukkural menjadi sebahagian daripada karya-karya sastera ini. Isi yang lahir dalam puisi ini berbentuk kuplet iaitu puisi berbaris dua. Teks asli Thirukkural ditulis oleh penulis puisi bernama Thiruvalluvar yang masih mendapat perhatian dalam kalangan masyarakat terutama di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT). Teks ini didapati mengandungi norma yang harus dipatuhi oleh manusia dan dipengaruhi oleh situasi serta ada yang diwajibkan untuk berbuat demikian. Namun begitu, penelitian terhadap teks Thirukkural ini masih ada kelonggaran dan ini mengambil sebagai peluang kepada kajian ini. Tujuan utama kepada penelitian ini adalah untuk menggali nilai moral serta menyelidiki teks Thirukkural berdasarkan teori Deontologi. Bagi memudahkan proses penelitian, sebanyak dua puluh satu tajuk puisi telah dipetik. Penelitian kualitatif naratif digunakan dengan mengaplikasikan kajian kepustakaan serta teks. Pada masa yang sama, teori deontologi Immanuel Kant diaplikasikan bagi meneliti jenis prinsip yang diletakkan dalam kuplet Thirukkural. Nilai moral yang dipetik daripada teks Thirukkural ini mampu memberikan pendedahan yang mendalam tentang pentingnya amalan moral dalam kehidupan seharian yang patut diamalkan dalam setiap tingkah laku. Dengan ini, keruntuhan sikap moral yang sering menjadi topik hangat dapat dielakkan demi melahirkan kehidupan yang lebih bermakna.
Kata kunci: Teks Thirukkural, puisi, nilai moral, teori deontologi Immanuel Kant