Keperluan terhadap bidang sains dan teknologi dilihat sangat diberi keutamaan khususnya di Malaysia sebagai sebuah negara yang membangun. Dengan demikian, kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti perkembangan pendidikan sastera dan peluang kerjaya di Sabah sekitar tahun 2010 sehingga 2020 dan menganalisis pandangan majikan terpilih terhadap graduan sastera. Justeru, kajian ini mengaplikasikan kaedah kajian kualitatif menerusi kaedah temu bual dan kaedah analisis data. Kajian ini turut mengaplikasikan kaedah analisis tematik untuk mencipta tema yang lebih spesifik yang kemudiannya dihuraikan dengan sokongan kajian-kajian lepas seterusnya mencapai kedua-dua objektif kajian. Dengan demikian, dapatan kajian menunjukkan bahawa perkembangan modenisasi kini bukanlah menjadi halangan atau cabaran terhadap bidang Pendidikan sastera khususnya kepada graduan yang memilih bidang ini pada peringkat universiti. Perkembangan sains dan teknologi moden telah menjadi batu loncatan dan dorongan untuk memartabatkan lagi bidang sastera serta membuka ruang kerjaya yang luas dan pelbagai kepada graduan.
Kata Kunci: Cabaran Modenisasi, Pendidikan Sastera, Kerjaya, Persepsi Majikan, Graduan.