Kajian ini bertujuan untuk mereka bentuk dan membangunkan bahan pembelajaran kosa kata bahasa Arab berbantukan aplikasi realiti terimbuh serta menilai kebolehgunaan aplikasi tersebut untuk pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) kosa kata bahasa Arab KAFA. Kelemahan penguasaan kosa kata bahasa Arab dalam kalangan pelajar pada peringkat sekolah rendah serta kekurangan bahan PdPc bahasa Arab khususnya PdPc kosa kata menjadi permasalahan utama bagi kajian ini. Analisis keperluan guru dan pelajar KAFA juga dijalankan sebelum analisis pemilihan item konstruk utama pembangunan dan pemilihan kosa kata bahasa Arab dilakukan. Kaedah campuran digunakan dalam kajian reka bentuk dan pembangunan ini dengan menggabungkan 1) Kaedah kuantitatif melalui soal selidik kepada 285 orang guru bahasa Arab KAFA di negeri Kelantan dan soal selidik kaedah Fuzzy Delphi untuk mendapatkan kesepakatan 10 orang pakar yang terlibat dari pelbagai bidang termasuk bidang bahasa Arab, teknologi maklumat, realiti terimbuh, dan KAFA, serta 2) Kaedah kualitatif yang menggunakan temu bual separa berstruktur kepada 5 orang pelajar KAFA di negeri Kelantan selain menggunakan pendekatan analisis kandungan untuk mendapatkan item konstruk utama reka bentuk dan pembangunan prototaip aplikasi realiti terimbuh daripada kajian-kajian lepas serta memilih bahan kandungan kosa kata bahasa Arab KAFA yang bersesuaian dengan tahap pelajar daripada silibus KAFA. Kajian ini mengaplikasikan pendekatan reka bentuk dan pembangunan (DDR) dengan mengintegrasikan teori-teori lain termasuk teori kognitif untuk pembelajaran multimedia, teori perancah Scaffolding serta teori pemilihan kosa kata bahasa Arab oleh Thu’aimah. Dapatan kajian mendapati terdapat keperluan yang tinggi daripada guru dan pelajar terhadap penggunaan aplikasi realiti terimbuh sebagai salah satu medium bahan bantu mengajar di KAFA bagi membantu meningkatkan motivasi dan perhatian pelajar terhadap PdPc kosa kata bahasa Arab KAFA. Sebanyak 28 kosa kata bahasa Arab dengan pelbagai tema mewakili setiap huruh hijaiyah dipilih daripada silibus KAFA untuk digunakan pada penanda kad imbas selain penggunaan teks, audio dan animasi 3D terhadap pembangunan bahan pembelajaran pada aplikasi realiti terimbuh. Prototaip aplikasi ini mempunyai kebolehgunaan yang tinggi untuk PdPc peringkat sekolah rendah KAFA ini dengan julat peratus penilaian kebolehgunaan daripada pakar antara 90% hingga 100% serta memperoleh nilai threshold (d) di bawah nilai 0.2 untuk setiap komponen reka bentuk dan pembangunan serta fungsi prototaip aplikasi realiti terimbuh untuk PdPc kosa kata bahasa Arab KAFA. Implikasi kajian ini terarah kepada sumbangan kajian terhadap penerapan nilai pembelajaran abad ke-21 (PAK21) dalam institusi KAFA di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) khususnya melibatkan guru dan pelajar selain implikasi terhadap penambahbaikan aktiviti pedagogi bahasa Arab semasa dan penghasilan kerangka model pembangunan platform realiti terimbuh untuk PdPc kosa kata bahasa Arab.