Projek penyelidikan ini merupakan sebuah kajian berkenaan peranan pihak berkepentingan dalam pengurusan warisan terhadap dua bangunan rumah kedai lama di Kampung Cina Kuala Terengganu dan Kampung Budaya Terengganu. Namun, setiap tadbir urus pengurusan pasti mempunyai masalah dan cabarannya yang tersendiri. Setiap bangunan mahupun tapak warisan sememangnya memerlukan pihak pengurusan warisan yang boleh mentadbir urus warisan tersebut agar ia kekal terpelihara hingga ke hari ini. Seterusnya, masalah berkaitan penyelenggaraan juga perlu diberi perhatian terutamanya melibatkan kejadian yang tidak dapat dijangka serta masalah kawasan yang kurang dikenali dan memerlukan jalan penyelesaian sebaiknya. Justeru, tujuan utama kajian ini adalah untuk mengkaji siapakah pihak yang berkepentingan dalam pengurusan warisan, sumbangan yang telah dilakukan serta dan cabaran yang telah dihadapi oleh pihak berkepentingan ini dalam pengurusan warisan pada masa kini. Di dalam penyelidikan ini juga, pengkaji telah memilih teori pihak berkepentingan melalui empat perspektif berbeza iaitu komuniti, organisasi awam, organisasi swasta dan pengguna. Selain itu, pengkaji menggunakan pendekatan kajian kualitatif iaitu mendapatkan data melalui kaedah temubual dan pemerhatian serta dianggap sebagai kaedah bersesuaian untuk menjawab objektif kajian pengkaji. Justeru, hasil jangkaan penyelidikan ini akan menemui punca kejayaan sesebuah pengurusan warisan dan impaknya kepada semua. Walaupun pengkaji telah memilih dua lokasi yang berbeza dalam mengkaji peranan pihak berkepentingan dalam pengurusan warisan namun pada akhirnya tetap akan membawa matlamat yang sama. Malah, melalui kajian ini juga diharapkan dapat membantu pihak yang berkepentingan yang menguruskan warisan ini supaya dapat memberi sumbangan yang lebih baik dan dapat meminimumkan cabaran yang akan dihadapi.