Bangunan Kajang High School merupakan sebuah sekolah yang tertua di Hulu Langat dan telah dibina semasa penjajahan British. Pemuliharaan Kajang High School adalah sangat penting untuk menjaga identiti Kajang sebagai tapak yang bersejarah. Walau bagaimanapun, kepentingan nilai sejarah Kajang High School kurang mendapat perhatian di kalangan masyarakat sebagai bangunan atau tapak warisan. Selain itu, kajian secara saintifik dalam pemeliharaan dan pemuliharaan bangunan Kajang High School sangat kurang kerana kebanyakan komuniti setempat tidak mempunyai pengetahuan yang luas mengenai proses pemuliharaan tersebut. Oleh itu, kajian ini dijalankan bagi memahami dengan lebih mendalam nilai warisan di Kajang High School. Kajian ini juga mempunyai tiga objektif utama iaitu mengenal pasti persepsi pihak berkepentingan terhadap bangunan Kajang High School, mengkaji nilai warisan atau kepentingan warisan bangunan Kajang High School menurut persepsi pihak berkepentingan supaya bangunan ini dikenali sebagai bangunan bersejarah di Kajang dan menganalisis mekanisme yang relevan dalam memelihara dan memulihara bangunan Kajang High School oleh pihak berkepentingan. Kajian ini menggunakan pendekatan campuran melalui temu bual, pemerhatian dan borang tinjauan. Seramai lapan orang informan telah ditemubual dan 306 orang responden menjawab borang tinjauan yang telah disediakan. Analisis data daripada pendekatan kuantitatif menggunakan analisis tematik, manakala analisis deskriptif digunakan untuk mencari data daripada pendekatan kuantitatif. Akhir sekali, kajian ini telah berjaya mengeluarkan beberapa tema antaranya ialah tahap pengetahuan pihak berkepentingan tentang latar belakang Kajang High School, persepsi pihak berkepentingan terhadap bangunan Kajang High School, nilai atau kepentingan warisan dibangunan tersebut, perubahan dari segi penggunaan bangunan, perubahan reka bentuk bangunan dalaman dan luaran, kerosakan di bangunan Kajang High School, mekanisme relevan dalam memelihara dan memulihara bangunan Kajang High School oleh pihak berkepentingan. Oleh itu, kajian ini penting untuk dijadikan sebagi sumber rujukan saintifik bagi pengkaji, sekolah, dan pihak berkepentingan Kajang High School berhubung dengan persepsi pihak berkepentingan, pemuliharaan dan pemeliharaan bangunan tidak rasmi.