Arus transformasi dalam dunia pendidikan mendorong guru bahasa Arab agar mengubah cara pengajaran tradisional kepada pengajaran yang berpusatkan kepada pelajar melalui penerapan pembelajaran koperatif. Sikap pengajar yang tidak berminat untuk membawa perubahan dalam pengajaran bahasa Arab akan memberi kesan kepada prestasi pelajar dalam pencapaian akademik. Kebanyakan guru kurang memberi perhatian kepada kepelbagaian kaedah pengajaran kerana terlalu menumpukan kepada usaha untuk menghabiskan sukatan pelajaran dan penguasaan teknik menjawab soalan peperiksaan. Pengajaran guru bahasa Arab juga banyak menggunakan kaedah “chalk & talk” dari awal kelas sehinggalah tamat. Kebanyakan guru tidak banyak menggunakan pembelajaran koperatif dalam pengajaran. Kajian ini dijalankan bertujuan untuk meneroka tahap kekerapan pelaksanaan jenis pembelajaran koperatif, cara guru dalam melaksanakan dan sikap guru bahasa Arab semasa melaksanakan pembelajaran koperatif di sekolah. Kajian ini berasaskan pendekatan kuantitatif berdasarkan reka bentuk deskriptif dan kolerasi. Peserta kajian pula dipilih melalui kaedah persampelan bertujuan dan guru bahasa Arab yang terlibat adalah sebanyak 50 orang yang mengajar di SMKA negeri Kelantan. Instrumen borang soal selidik 48 item telah diagihkan bagi mendapatkan data kajian. Data kajian dianalisis menggunakan Statistical Package for The Social Science (SPSS V 26) bagi memperolehi min, sisihan piawai dan peratusan. Dapatan terhadap tahap kekerapan jenis pembelajaran koperatif menunjukkan berada pada tahap sederhana. Terdapat lima kaedah koperatif yang mendapat skor min tertinggi iaitu kaedah Round Table (Meja bulat (min= 3.84, SP=0.95) seterusnya kaedah Team Present to Other Team (Kumpulan bentang pada kumpulan lain) dengan (min=3.76, SP=0.96), Kaedah Think Pair Square (Fikir berpasangan kumpulan) (min=3.72, SP=0.62), kaedah Pair Check (semakan berpasangan) (min=3.70, SP=1.03) dan Think Pair Share (Fikir berpasangan berkongsi) yang mencatatkan (min=3.62, SP=0.64). Manakala dapatan kedua dari segi cara guru membuat pelaksanaan pembelajaran koperatif menunjukkan pada tahap tinggi. Begitu juga dengan dapatan tentang sikap guru bahasa Arab berada pada tahap positif. Sehubungan dengan itu, implikasi kajian guru mestilah lebih bijak dalam mengatur semua bentuk pengajaran kerana ia secara langsung memberi impak kepada pencapaian pelajar. Ini memberi bayangan bahawa pembelajaran koperatif mesti dilaksanakan di dalam bilik darjah sebagai metodologi pengajaran berpusatkan pelajar.