"Coklat nise" adalah pemanis mulut yang asli dan cukup terkenal di Kelantan dari dulu hingga kini, namun pembuatannya sudah sukar ditemui kerana tidak ramai mengusahakannya.
Bahan yang digunakan ialah nise kerek (gula melaka), gandum, santan, kacang tanah dan sedikit garam.
Gandum disangai sehingga garing terlebih dahulu, diayak dan kacang tanah pula dibuang kulit serta digoreng terlebih dahulu.
Proses memasak nise daripada ketulan sehingga cair mengambil masa selama dua jam sebelum dimasukkan kacang tanah dan santan serta dikacau sehingga likat.
Nise yang likat itu diangkat dan dicurah ke tempat letak kayu yang ditaburi gandum berbentuk seperti 'kolam', setelah sedikit sejuk, nise diuli menjadi bentuk bujur panjang.
Bentuk panjang itu dipotong menggunakan kati atau kacip pinang yang memerlukan kepakaran membentuk saiz gula-gula.