Kesatuan sekerja adalah salah satu elemen penting dalam teori hubungan industri. Pelbagai kajian kesatuan sekerja telah dijalankan di sektor swasta dalam menjaga hak dan kebajikan pekerja. Walau bagaimanapun, kajian dalam kesatuan sekerja di sektor awam tidak begitu banyak dijalankan pada masa ini. Kajian ini adalah untuk menyelidik peranan kesatuan sekerja dalam menjaga hak dan kebajikan pekerja di sektor awam terutamanya di Universiti Malaysia Kelantan. Kajian ini juga menunjukkan tentang peranan Kesatuan Staf Pelaksana Universiti Malaysia Kelantan (KESPUMK) dalam memperjuangkan hak dan kebajikan staf pelaksana di UMK dan strategi Kesatuan Staf Pelaksana Universiti Malaysia Kelantan (KESPUMK) dalam memperjuangkan hak dan kebajikan staf. Kajian ini mengambil pendekatan metodologi secara kualitatif iaitu melalui kajian kes. Seramai lima belas (15) orang responden telah ditemu bual dalam kajian ini yang terdiri daripada pelbagai latar belakang. Seterusnya, temu bual secara mendalam dan kandungan telah digunakan dalam proses pengumpulan data serta analisis kajian yang digunakan adalah berdasarkan tema dan analisis kandungan. Kesatuan sekerja di universiti sangat penting dalam membawa beberapa amalan terbaik seperti di sektor swasta. Penemuan kajian ini dapat membantu dan memastikan hak dan kebajikan staf dijaga serta dibela. Selain itu, penemuan kajian ini juga dapat membantu staf sokongan yang mempunyai masalah dan ditindas dalam hak dan kebajikan. Oleh yang demikian, penyelidik berharap kajian ini dapat membantu pengurusan Universiti, jawatankuasa pengurusan KESPUMK dan ahli KESPUMK dalam menambah baik peranan kesatuan sekerja untuk kebaikan semua pihak. Kajian ini juga turut merumuskan bahawa kewujudan kesatuan sekerja dapat membantu dan membela nasib pekerja.