Pandemik Covid-19 yang melanda dunia ternyata telah merubah norma kehidupan manusia termasuklah mod pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan di universiti. Kesan dari pandemik tersebut telah memaksa berlakunya pertukaran mod pengajaran dan pembelajaran dari mod pembelajaran bersua muka dan teradun kepada mod pembelajaran dalam talian secara penuh. Turut terkesan adalah pembelajaran berasaskan makerspace yang pada asalnya menggunakan ruang fizikal dan ruang maya secara teradun dalam menjalankan aktiviti merekabentuk dan pembuatan prototaip. Berdasarkan hasil kajian lampau, tiada lagi kajian beserta bukti empirikal yang dicadangkan bagi menentukan kesan kaedah pembelajaran ini untuk diterapkan ke dalam kursus-kursus berbentuk studio khasnya dalam bidang rekabentuk perindustrian. Kajian ini bertujuan untuk mengenalpasti faktor-faktor yang mempengaruhi aspek pengetahuan, motivasi dan penetapan minda pelajar dan menentukan kesan pembelajaran berasaskan makerspace yang dijalankan sepenuhnya di dalam talian terhadap faktor-faktor tersebut. Kajian ini dijalankan dengan menggunakan kaedah eksperimen kuasi kumpulan tidak seimbang dengan ujian pra dan ujian pasca yang berlangsung selama 14 minggu yang melibatkan pelajar pra siswazah rekabentuk perindustrian tahun 3 (n=30) bagi kursus SCP3163 (Eksperimentasi Binaan). Hasil analisa Quade dan ANCOVA mendapati terdapat perbezaan signifikan bagi kumpulan rawatan dan kumpulan kawalan bagi aspek pengetahuan (p=0.002, h2=0.291), motivasi (p<0.001, ph2=0.622) dan penetapan minda (p<0.001, h2 =0.509) dengan menggunakan kaedah eksperimen kuasi kumpulan tidak seimbang yang dijalankan selama tujuh minggu. Hasil kajian juga mendapati bahawa terdapat peningkatan signifikan skor pencapaian akhir pelajar (p<0.001, d=1.64) antara kumpulan rawatan dan kumpulan kawalan berdasarkan hasil ujian t sampel bebas. Pada kesimpulannya, kajian ini membuktikan kesan pembelajaran berasaskan makerspace dalam talian terhadap aspek pengetahuan, motivasi dan penetapan minda perlu diterapkan dan dijadikan kriteria untuk garis panduan bagi kaedah pengajaran dan pembelajaran untuk pelajar rekabentuk perindustrian dan bermanfaat kepada pengkaji, pensyarah dan pembuat dasar bagi dijadikan rujukan.