Bakat Muda Sezaman (BMS) merupakan pertandingan seni visual anjuran Balai Seni Negara (BSN) yang paling berprestij di Malaysia. Selama 48 tahun penganjuran dan 27 pertandingan, BSN telah berjaya melahirkan ramai artis ternama yang kini menjadi pelopor dalam arena seni Malaysia dan serantau. Sesuai dengan peranan seni sebagai wadah budaya bangsa, tiga objektif utama kajian telah disusun iaitu mengenal pasti aspek perubahan sosial yang mempengaruhi karya-karya terpilih artis muda Malaysia melalui platform BMS dari tahun 1974-2017 berdasarkan pembentukan dan pemaknaan karya, menganalisis kesan perubahan sosial terhadap pembentukan dan pemaknaan karya yang dihasilkan artis BMS (1974-2017) menggunakan pendekatan analisis visual, dan terakhir menghasilkan garis panduan am bagi penghasilan karya daripada aspek perubahan sosial sezaman terhadap artis-artis BMS akan datang. Kajian telah dijalankan terhadap 30 karya terpilih daripada karya-karya pemenang BMS (1974-2017) yang mencerminkan aspek perubahan sosial menggunakan kaedah reka bentuk analisis visual berpandukan 4 komponen teori kritikan seni Feldman E.B (1994) iaitu penerangan, analisis, interpretasi dan penilaian. Hubungan antara analisis karya BMS (Feldman E.B) dengan konteks perubahan sosial sezaman, dinilai bersama data temu bual artis/ kurator/ dan ahli akademik yang berpengalaman dalam BMS (Temu bual) menggunakan kaedah triangulasi. Hasil analisis mendapati terdapat hubungan yang signifikan antara pembentukan dan pemaknaan karya artis BMS dan aspek perubahan sosial dari tahun 1974-2017. Hasil kajian juga menjustifikasikan kesan perubahan sosial terhadap karya-karya BMS dan mengkategorikan karya-karya BMS berdasarkan konteks perubahan sosial dalam bentuk susur masa perubahan sosial. Kesimpulannya, dapatan kajian membuktikan terdapat kesan perubahan sosial sezaman terhadap karya BMS dan boleh diterapkan sebagai kriteria untuk garis panduan bagi penghasilan karya artis BMS akan datang dan bermanfaat kepada pengkaji, artis dan pelajar seni bagi dijadikan rujukan.