Baha Zain antara penyair tahun 1970-an yang sering memperagakan tema kemanusiaan sebagai sandaran idealisme kepenyairannya. Cerminan sebegitu merupakan medan mempertahankan hak dan suara kemanusiaan golongan tertindas, di samping sebagai usaha memasyarakatkan pemikiran melalui keintelektualannya. Teknik kepengarangan puisinya pada peringkat awal berentak lantang, provokasi, radikal dan sosialis. Namun, lewat puisi mutakhirnya dikesani sering berkisarkan kejiwaan yang menyentuh aspek ketuhanan. Hal ini disandarkan terhadap penelitian pada lima buah kumpulan puisi awal dan puisi mutakhirnya seperti Perempuan dan Bayang-Bayang (1974), Dari Kertas Catatan Tengah Malam (1978), Tiga Catatan Perjalanan (1980), Jalan Desa ke Kota (1994), Menangguhkan Kebenaran dan Sajak-sajak lain (2008) serta puisi eceran Dewan Sastera (2007-2018). Justeru, objektif utama kajian ini adalah untuk meneliti tahap keunggulan teknik kepengarangan puisi Baha Zain melalui elemen tema, bentuk, dan gaya bahasa. Selain itu, ketekalan Baha Zain menjadikan tema kemanusiaan dalam gagasan kepengarangannya pada peringkat awal dan mutakhir turut diberi perhatian, di samping mengemukakan faktor perubahan teknik kepengarangan puisi Baha Zain bersandarkan evolusi zaman kehidupannya. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif yang berorientasikan kajian kepustakaan sepenuhnya dengan menjadikan beberapa buah kumpulan puisi awal, puisi mutakhir dan puisi eceran sebagai sampel utama data. Kaedah kata kunci bertepatan dengan persoalan dan objektif kajian seperti kepengarangan atau idealisme penyair, tema dan persoalan puisi kemanusiaan, gaya bahasa, dan reka bentuk puisi dijadikan sebagai sampel utama data kepustakaan. Kajian ini melibatkan analisis bersifat tekstual berdasarkan hubung kait sosiologi manusia melalui pengalaman persekitaran atau pengalaman peribadi. Sehubungan itu, kajian ini mengaplikasikan Teori Teksdealisme melalui empat prinsip seperti; prinsip kehadiran, prinsip pengukuhan, prinsip pelanggaran dan prinsip individualisme sebagai penganalisisan bagi membuktikan keunggulan teknik kepengarangan Baha Zain dalam puisi kemanusiaan terpilih. Hasil kajian menunjukkan ketekalan Baha Zain mengangkat isu kemanusiaan sepanjang zaman membuktikan kewibawaan beliau mempertahankan identiti dalam penghasilan karya, di samping memberi pendedahan kepada masyarakat memperkasakan nilai kemanusiaan dalam kehidupan. Kajian ini juga menjelaskan ketinggian nilai kemanusiaan yang dipertahankan Baha Zain adalah kerana beliau meletakkan dirinya sebagai mewakili masyarakat bawahan dalam menyuarakan hak yang sewajarnya dipertahankan. Begitu juga, teknik penyampaian bervariasi memperlihatkan keperibadian Baha Zain dalam penghasilan puisi dan sekali gus membezakan kepengarangan beliau dengan penyair yang lain.