Kajian ini memfokuskan kepada penelitian terhadap aspek nilai-nilai moral yang terkandung dalam cerita rakyat Melayu dalam buku Seuntaian Naratif Lisan di Lembangan Sungai Pengkalan Datu Kelantan. Kajian ini dijalankan kerana pengkaji telah mengenalpasti terdapat kelompongan dalam kajian lepas yang mana kajian berkenaan dengan nilai-nilai moral dalam teks Seuntaian Naratif Lisan di Lembangan Sungai Pengkalan Datu, Kelantan belum dijalankan. Oleh hal yang demikian, objektif kajian ini dijalankan adalah untuk mengenal pasti dan menganalisis nilai-nilai moral yang terkandung dalam teks Seuntaian Naratif Lisan di Lembangan Sungai Pengkalan Datu Kelantan. Seterusnya, pendekatan moral yang terkandung dalam teori pengkaedahan Melayu oleh Hashim Awang (1989) dijadikan sebagai panduan dalam menyempurnakan kajian ini. Selain itu, kajian ini juga membataskan kepada 20 buah cerita rakyat seperti Haji Long Abdul Rahman, Asal Usul Datu, Tok Karim Guru Silat Masyhur, Pengaruh Baharu di Pulau Gajah Selepas Kedatangan Raja Patani, Kehebatan Laksamana Laut, Bidan Tok Haji Esah, Che Deraman, Asal Usul Datu, Nik Mat Keturunan Raja Banjar, Tentera Bergajah, Mok Su Nab Ular, Nurani Che Him dalam Masyarakat, Kezaliman Seorang Raja, Tok Guru Haji Awang Ulama Tercipta, Simbolik Rebana, Pengunduran Raja Patani, Kegemilangan Pengkalan Datu, Asal Usul Kampung Babong, Tengku Mahmud Muhiyuddin dan Tok Perindu. Tambahan lagi, kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif secara kepustakaan dan analisis teks. Hasil dapatan kajian menunjukkan bahawa cerita-cerita rakyat Melayu memang sarat dengan teladan yang boleh dijadikan contoh kepada masyarakat bahkan padat dengan nilai kebudayaan masyarakat Melayu sejak dari dahulu lagi.