Kerja seni halus merupakan warisan tradisi masyarakat terdahulu yang sangat sinonim dengan masyarakat melayu. Terdapat pelbagai jenis sulaman seperti sulaman kerawang, sulaman tekat, sulaman manik, sulaman reben dan sulaman kelingkan. Oleh itu, sulaman kelingkan adalah salah satu sulaman yang terkenal di kalangan wanita di semenanjung Malaysia dan di borneo juga. Sulaman kelingkan adalah sulaman yang menggunakan benang logam bersadur emas,perak dan tembaga. Oleh itu, ia digunakan pada pakaian dan juga hiasan di biik tidur. Sulaman kelingkan juga mempunyai maksud dan simbolik dan kepada taraf dan darjat pada zaman dahulu. Seterusnya, Objektif kajian ini adalah mengenalpasti teknik dan motif yang digunakan dalam seni sulaman kelingkan pada tekstil. Selain itu, menganalisis motif dan teknik bagi semenanjung Malaysia, Sarawak dan kepulauan Indonesia serta mencadangkan cara penjagaan tekstil seni sulaman kelingkan menurut standard konservasi. Seterusnya, permasalahan yang diperolehi berdasarkan kajian-kajian lepas adalah identiti sulaman kelingkan masyarakat melayu yang harus diketengahkan dari segi motif dan teknik supaya masyarakat dapat mengenali serta membezakan identiti kelingkan pada tekstil melayu di Malaysia dan pada negara lain yang turut mempunyai jenis sulaman yang sama. Selain itu, permasalahan yang didapati adalah kekurangan pendedahan mengenai kaedah penjagaan kelingkan yang sepatutnya. Kaedah metodologi yang digunakan ialah kaedah pemerhatian, soal selidik dan temu bual. Hal ini supaya kajian dapat dilakukan dengan lebih mudah. Kesimpulannya, kelingkan adalah salah satu sulaman yang benilai tinggi kerana mempunyai motif yang unik dan teknik yang rumit sewaktu pembuatannya. Oleh itu, kelingkan haruslah mempunyai penjagaan yang rapi bagi menjaga kelingkan daripada terus rosak.