Sajak Suara Wirawan Negara Bangsa hasil karya Ramli Abdul Halim merupakan himpunan 105 buah sajak dengan tema berkaitan nasionalisme. Kajian ini dilaksanakan adalah untuk mengenal pasti nilai-nilai kemasyarakatan yang terkandung dalam sajak terpilih Suara Wirawan Negara Bangsa menggunakan teori sosiologi dan mengkaji pemikiran dan nilai pengajaran pada sajak terpilih karya Ramli Abdul Halim dalam konteks masyarakat kontemporari. Kajian ini dilaksanakan dengan pendekatan kualitatif dengan beberapa kaedah kajian iaitu kaedah kepustakaan, analisis tekstual dan rujukan menerusi internet. Kajian ini menilai unsur kemanusiaan yang pernah berlaku pada kehidupan masyarakat pada era sebelum kemerdekaan. Kajian ini menggunakan teori sosiologi menerusi tiga prinsip untuk mengukur gaya kehidupan dan pemikiran di dalam sajak. Menerusi kajian ini, terdapat tiga buah sajak yang mendukung prinsip pertama hubungan pengkarya dengan masyarakat, tiga buah sajak di dalam prinsip kedua pengaruh persekitaran di dalam karya dan dua buah sajak di dalam prinsip ketiga peranan dan pengaruh karya kepada pembaca. Oleh itu, kajian ini perlu diteruskan dengan mencadangkan tiga aspek iaitu memperkasakan program kesusasteraan Melayu, penulisan karya sajak dalam pembentukan akhlak masyarakat dan pengkaji lain.