Kajian ini dilakukan adalah bertujuan untuk mengetahui asal usul sejarah tokoh ulama yang terkemuka di daerah Bachok iaitu Tok Bachok. Tok Bachok merupakan seorang tokoh ulama yang terkemuka di daerah Bachok, Kelantan. Beliau telah menyumbangkan ilmu pengetahuan dalam bidang keagamaan khususnya kepada masyarakat yang tinggal di daerah Bachok. Kebanyakan aktiviti yang dilaksanakan oleh Tok Bachok ini adalah tertumpu di kawasan daerah Bachok. Berdasarkan dari kajian ini terdapat beberapa permasalahan kajian yang telah wujud. Antaranya, adalah seperti kurangnya pengetahuan sejarah mengenai kewujudan tokoh, sumbangan yang telah disumbangkan oleh Tok Bachok kepada masyarakat dalam bidang keagamaan dan persepsi masyarakat terhadap tokoh ulama. Kajian yang dijalankan ini akan tertumpu kepada sejarah latar belakang tokoh ulama Tok Bachok yang dikagumi oleh masyarakat setempat. Seterusnya, sumbangan yang telah disumbangkan oleh tokoh ulama Tok Bachok kepada masyarakat dalam bidang keagamaan serta persepsi masyarakat terhadap tokoh ulama Tok Bachok yang terkemuka di daerah Bachok. Dalam kajian ini pengkaji telah menggunakan kaedah kualitatif dan kuantitatif bagi mengumpulkan serta mendapatkan segala maklumat. Kaedah yang digunakan adalah seperti borang soal selidik, kepustakaan dan juga kaedah temubual. Kajian ini juga akan memberikan cadangan penambahbaikan dari segi mengubah persepsi masyarakat terhadap tokoh ulama Tok Bachok yang pada asalnya kurang diketahui dan dikenali. Hal ini demikian kerana sewaktu beliau berada di sekitar umur 40an, beliau telah banyak menyumbangkan ilmu keagamaan kepada masyarakat Bachok. Penyebaran ilmu agama tersebut dilaksanakan setelah beliau pulang dari Kota Mekah. Pengetahuan mengenai latar belakang Tok Bachok ini amatlah penting dalam mengubah persepsi masyarakat di Bachok agar mereka tidak melupakan akan sumbangan yang telah diberikan oleh tokoh tersebut.
Kata Kunci: Daerah Bachok, persepsi, sumbangan, sejarah, tokoh ulama.