Kajian ini membincangkan tentang peranan Galeri Darurat Bukit Kepong dalam membangkitkan semangat Nasionalisme dalam kalangan pelawat. Nasionalisme merupakan salah satu semangat yang perlu ada pada setiap diri seseorang terhadap bangsa dan negara. Hal ini demikian kerana, semangat nasionalisme pada masa kini kurang dititikberat oleh setiap individu termasuk individu yang mengunjung ke Galeri Darurat Bukit Kepong. Oleh itu terdapat beberapa objektif kajian yang memainkan peranan pengkaji dalam membuat penyelidikan. Objektif utama kajian ini dijalankan adalah untuk mengkaji peranan Galeri Darurat Bukit Kepong dalam membangkitkan semangat nasionalisme dalam kalangan pelawat. Kajian ini berpandukan kepada teori oleh Ernest Gellner 1983 iaitu Nations and Nationalism. Kaedah yang digunakan oleh pengkaji adalah kaedah campuran. Dalam kajian ini, kaedah survey menggunakan soalan soal selidik yang telah diaplikasikan dan terdapat seramai 154 responden yang terlibat dan mereka dipilih berdasarkan kaedah persampelan secara rawak mudah. Responden telah membuat pilihan dengan menggunakan skala likert dengan kenyataan yang telah ditetapkan oleh pengkaji. Kajian ini adalah penting bagi pelawat membangkitkan semangat nasionalisme dalam diri setelah berkunjung ke Galeri Darurat Bukit Kepong. Hasil daripada kajian ini harap dapat membantu pihak Galeri Darurat Bukit Kepong untuk menangani isu nasionalisme.
Kata Kunci : Peranan, Galeri Darurat Bukit Kepong, Nasionalisme, Pelawat