Muzium adalah tempat untuk sesuatu artifak dipamerkan bagi tujuan pendidikan kepada masyarakat. Terdapat pelbagai koleksi muzium iaitu berasaskan bahan organik dan bukan organik. Bahan organik adalah terdiri daripada rotan, kayu, bulu dan kulit. Oleh itu, dalam kajian ini membincangkan mengenai kaedah tempat penyimpanan yang difokuskan pada artifak bahan organik seperti tekstil, manuskrip dan sebagainya. Reka bentuk kajian ini dilakukan dengan kaedah kualitatif iaitu menemubual informan Pegawai Muzium Negeri Terengganu serta pemerhatian dilakukan di lokasi kajian tempat penyimpanan Muzium Negeri Terengganu. Selain itu, terdapat penambahbaikan kaedah penyimpanan artifak organik yang telah pengkaji menggunakan aplikasi sketchup bagi reka bentuk penyimpanan tersebut. Kajian ini juga bukan sahaja ingin merungkai kaedah penyimpanan artifak organik, bahkan ingin meningkatkan kesedaran penjagaan artifak mengikut panduan konservasi yang betul. Oleh itu, kajian ini sangat penting supaya generasi yang akan datang dapat memahami betapa pentingnya tempat penyimpanan artifak ini dengan pengawalan kaedah konservasi. Justeru, tempat penyimpanan artifak organik ini berupaya menjadi tempat penyimpanan yang selamat supaya dapat memanjangkan jangka hayat sesebuah artifak.