Sosiobudaya adalah sebuah aspek yang merujuk kepada segala perihal yang mempunyai kaitan dengan masyarakat dimana segala aktiviti kebudayaan yang mereka jalankan adalah berdasarkan sifat mereka yang cintakan kesenian, nilai moral, kepercayaan, adat resam dan sebagainya dalam meransang pembangunan insaniah masyarakat tersebut. Kajian ini juga menunjukkan nilai budaya dalam kehidupan masyarakat berdasarkan novel Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck karya Hamka (2015) yang menceritakan sebuah percintaan antara dua derajat selain menunjukkan konflik-konflik yang berlaku di dalam novel. Oleh itu, pengaplikasian pendekatan Teori Sosiologi bertujuan untuk membincangkan konfrontasi dan pertikaian yang berlaku dalam masyarakat sebagai sumber inspirasi dan ilham pengkaji yang bertujuan untuk mencerminkan segala kejadian yang telah berlaku dalam novel. Kajian ini memfokuskan kepada aspek sosiobudaya dari segi kepercayaan, keagamaan, adat dan tradisi, gaya hidup masyarakat dan jenis bahasa yang terkandung dalam novel TKVDW dengan menggunakan kaedah rekabentuk kualitatif. Jelaslah segala perilaku atau aktiviti masyarakat dapat dibincangkan melalui aspek-aspek sosiobudaya dengan merungkai segala konflik yang terdapat di dalam novel di samping memberikan ilmu pengetahuan kepada khalayak.